About Me

Seluar 'separuh rindu' cetus fenomena


Kota Bharu: Kreatif dalam menjana pendapatan keluarga dalam tempoh pelaksanaan kawalan pergerakan, mendorong pasangan suami isteri dari Kubang Kerian, di sini, untuk menjahit seluar bercorak unik dinamakan 'Separuh Rindu'.

Zarina Johan, 32, berkata, menerusi minat mereka sekeluarga yang gemarkan pakaian berfesyen pelik 'gabung padan' mendorong beliau menggarap ilmu yang dipelajari di Pusat GiatMara Kubang Kerian digunakan untuk menghasilkan seluar itu.

"Saya belajar menjahit secara asas hanya dalam masa dua bulan sahaja secara bersemuka, tetapi atas kekangan PKP, selebihnya saya belajar secara dalam talian.

"Seluar cantuman jenis bercorak batik dan pelikat digabungkan dengan kain berwarna kosong, direka cipta oleh kami secara tersendiri dan kini menjadi fenomena kepada golongan muda, dewasa dan kanak-kanak," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Zarina berkata, usaha menjahit pakaian itu tercetus selepas dia menjahit seluar untuk tiga anaknya, Muhd Dhya' Ulhaq Zafran Mohd Rosoliza, 8; Muhd Dhya' Arjuna Afwan, 7, dan Dhya' Andika Jahran, 2, yang diletakkan di status WhatsApp, mendapat tarikan seterusnya permintaan daripada ahli keluarga serta rakan-rakan.

Menariknya usaha Zarina tidak keseorangan kerana beliau mendapat sokongan dan bantuan tenaga suaminya, Mohd Rosoliza Mohd Zawawi, 53.

"Memandangkan setiap hari mendapat 20 tempahan, jadi saya 'memaksa' suami untuk belajar memotong kain dan kelim. Biarpun kami kali pertama belajar menjahit, namun alhamdulillah dapat memenuhi permintaan pelanggan.

"Biarpun sama-sama baru belajar dalam jahitan ini dan suami bekerja tetap di syarikat elektrik, namun selepas pulang dari kerja iaitu pada waktu malam meluangkan masa memotong serta mengelim kain, selebihnya untuk kerja penyudahan menjahit, saya lakukan sendiri," katanya yang berasal dari Ipoh, Perak.

Sementara itu, Mohd Rosoliza berkata, di Kelantan seluar cantuman sebegitu dipanggil 'seluar kahwin' kerana direka cipta dengan corak berlainan untuk kedua-dua belah bahagian paha.

"Corak ini kami berikan nama Separuh Rindu kerana separuh kain adalah bercorak, manakala separuh lagi dipadankan dengan warna kosong. Pemakai seluar ini pula dianggap berani dan ada karisme tersendiri," katanya.

Mohd Rosoliza berkata, ada dalam kalangan pelanggan yang menempah seluar itu secara sedondon sekeluarga, iaitu untuk dipakai oleh ibu, bapa, anak-anak remaja dan bayi.

"Seluar Separuh Rindu ini semakin tular dan menjadi 'trend' untuk digayakan secara santai malah ia selesa semasa dipakai dan kami tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan tempahan, malah kami juga membekalkan kain batik untuk meluaskan pilihan pelanggan.

"Kami menggunakan modal sendiri RM3,000 dan sehingga kini mendapat tempahan kira-kira 600 helai seluar, namun disebabkan masalah masa dan tenaga, hanya 140 helai dapat disiapkan. Jadi kami memohon supaya mendapat bantuan modal kira-kira RM8,000 bagi menyediakan mesin jahit dan kelim daripada pihak berkaitan," katanya.

Beliau berkata, setakat ini pengeposan seluar Separuh Rindu dan palazo sudah dihantar ke Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, malah kini mendapat permintaan dari luar negara seperti Singapura serta Brunei, namun kekangan modal menyebabkan produktiviti penghasilan seluar itu terbatas.

Katanya, seluar Separuh Rindu dijual pada harga RM23 (berpoket RM28), siap santai RM15 (berpoket RM18), palazo RM15 dan kanak-kanak pula mengikut saiz bermula RM5.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!