About Me

Sanggup menipu nak dapat lebih bantuan


Kuantan: Memberi maklumat peribadi palsu serta mengelirukan antara helah digunakan segelintir individu yang ingin mendapatkan bantuan keperluan asas disediakan Sekretariat Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang (Makpen) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Covid 3.0.

Setiausaha Kehormat Makpen, Salamon Ali Rizal Abdul Rahman berkata, terdapat juga kes keluarga memohon bantuan lebih daripada seorang sedangkan mereka hanya layak menerima satu bantuan saja.

Menurutnya, lebih menyedihkan terdapat individu yang sanggup berbohong mendakwa dirinya ibu tunggal semata-mata untuk mendapatkan bantuan namun apabila sukarelawan menghantar barang ke rumah, mereka berjumpa dengan suami wanita terbabit.

Katanya, untuk menerima bantuan lebih daripada sekali, ada yang sanggup menukar nombor MyKad dan alamat ketika membuat permohonan secara dalam talian.

"Sejak beroperasi 1 Jun lalu kita memberi bantuan keperluan asas seperti beras, minyak masak, sardin, bihun, gula, tepung dan biskut kepada seramai 594 golongan memerlukan di daerah ini, dalam tempuh berkenaan sebanyak 877 permohonan diterima.

"Sokongan dan bantuan diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (Muip) yang menyediakan barangan melancarkan misi bantuan untuk golongan memerlukan di daerah ini," katanya, di sini semalam.

Beliau berkata, sekretariat Makpen beroperasi di bangunan lama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dibantu lebih 15 sukarelawan daripada 11 NGO yang turut sama menyalurkan barangan keperluan untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan.

Salamon Ali Rizal berkata, setiap individu menerima bantuan keperluan asas bernilai antara RM70 hingga RM250 bergantung kepada keperluan, kes tertentu pemohon berpeluang menerima lampin pakai buang kanak-kanak serta dewasa, susu khas, tuala wanita dan ubat.

Katanya, untuk mengelak seorang pemohon menerima bantuan lebih daripada sekali, semua maklumat disimpan.

"Rekod yang ada dapat membendung daripada berlaku ketirisan kerana terdapat kes seorang pemohon menerima beberapa bantuan pelbagai pihak hingga menyebabkan mereka yang benar-benar memerlukan tidak berpeluang menerima bantuan diharapkan.

"Hampir setiap hari agihan bantuan dilakukan oleh sukarelawan, langkah keselamatan jangkitan wabak Covid-19 sentiasa diberi keutamaan. Pada borang permohonan turut dicatat tahap kesihatan," katanya.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!