About Me

Polis siasat lelaki, wanita rentas negeri hadiri majlis syarikat makanan sejuk beku


Kuala Lumpur: Polis menjalankan siasatan mengenai seorang lelaki dan seorang wanita dipercayai merentas negeri dari Melaka dan Johor Bahru, Johor untuk menghadiri satu majlis di sebuah premis makanan sejuk beku di Bandar Manjalara Kepong, di sini, pada 7 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya membuat laporan berkaitan satu pautan di akaun Facebook penama Miki Yee yang memuat naik beberapa video dan gambar dikongsi dari akaun premis makanan sejuk beku berkenaan pada 9 Julai lalu.

"Susulan itu, pasukan pematuhan Op Covid Kepong Golf 3 menjalankan pemeriksaan ke atas premis berkenaan dan membuat satu lagi laporan polis 7.30 petang, hari sama.

"Siasatan awal dilakukan mendapati pengendali akaun Facebook premis berkenaan membuat siaran langsung 7.30 petang di lokasi itu pada 7 Julai lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, dalam siaran langsung itu, ada memaparkan wajah seorang lelaki disyaki merentas negeri dari Melaka dan seorang wanita juga dipercayai merentas negeri dari Johor Bahru untuk datang ke premis berkenaan.

"Penelitian tiga video dan tiga gambar yang dimuat naik di akaun Facebook Miki Yee mendapati terdapat kira-kira tujuh individu dalam siaran langsung itu.

"Pemilik akaun Facebook bernama Miki Yee tidak berpuas hati dengan tindakan semua individu yang dengan jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk tidak memakai pelitup muka semasa siaran langsung itu," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan pasukan pematuhan Op Covid mendapati premis itu menjalankan perniagaan membekalkan makanan sejuk beku.

"Semakan terhadap dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat itu berdaftar.

"Namun, pemeriksaan ke atas dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) mendapati syarikat itu memberikan maklumat palsu dengan alasan menjalankan perniagaan restoran untuk memohon surat kebenaran beroperasi," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Peraturan 17, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

"Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa.

"Ia membabitkan perbuatan merentas negeri bagi tujuan aktiviti sosial dan bukannya untuk tujuan keperluan.

"Bagi kesalahan memberikan maklumat palsu terhadap permohonan kebenaran beroperasi, ia disiasat mengikut Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan mengelakkan tindakan tegas diambil terhadap individu-individu yang melanggar peraturan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206 untuk tindakan lanjut," katanya.

RAKAMAN siaran langsung memaparkan tujuh individu tidak mematuhi SOP PKP dalam satu majlis di sebuah premis makanan sejuk beku di Taman Manjalara Kepong, Kuala Lumpur, pada 7 Julai lalu.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!