About Me

Pejalan kaki, penunggang motosikal maut kemalangan


SUNGAI BULOH – Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas tercampak sejauh 80 meter akibat dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Kilometer 452.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 8.50 pagi itu, mangsa, Kyaw Naing Lin, 25, disahkan maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kejadian dipercayai berlaku di lorong paling kanan ketika mangsa sedang melintas jalan.

“Mangsa telah dilanggar seorang wanita tempatan yang memandu kereta jenis Nissan Almeera dan mengakibatkan mangsa tercampak sejauh 80 meter dari lokasi pelanggaran.

“Kita telah melakukan siasatan ditempat kejadian dan menahan kenderaan terbabit. Kita juga sedang mengesan waris mangsa dan saksi bebas kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kes berasingan, seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar bahagian belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan Kilometer 452.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara.

Shafa’aton memberitahu, kejadian melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah lori dan dua buah motosikal jenis Yamaha Lagenda serta 135 LC.

“Kejadian dipercayai berlaku di lorong kecemasan apabila mangsa telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori tersebut.

“Pelanggaran terbabit telah menyebabkan mangsa, Muhammad Hazirul Afiq Hairul Anuar, 24, yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda terjatuh.

“Kejadian terbabit turut menyebabkan adik mangsa, Muhammad Hazrul Aiman Hairul Anuar, 20, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC hilang kawalan sebelum terjatuh, kemalangan ini menyebabkan mangsa mengalami luka pada bahagian tangan,” jelasnya.

Kedua-dua mereka telah dibawa ke hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan namun pada pada pukul 10.20 pagi, Hazirul Afiq disahkan meninggal dunia semasa dalam rawatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Hasanal Hasif Johari di talian 019-2264650 atau menghubungi mana-mana balai berhampiran untuk menyalurkan maklumat.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan. 

– K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!