About Me

Masjid, surau diharap patuhi garis panduan penggunaan pembesar suara bagi jaga keharmonian


Ipoh: Semua masjid dan surau di Perak dikehendaki mematuhi garis panduan berhubung penggunaan pembesar suara yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) bagi keharmonian semua pihak termasuk membabitkan hubungan antara kaum serta agama.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pengurusan rumah ibadat berkenaan seharusnya memikirkan bagi mencari keharmonian dengan semua pihak serta tidak sesekali mencetuskan isu yang dapat menjerumus kepada perkara buruk sama ada dalam hubungan antara sesama Muslim mahupun bukan Muslim.

"JAIPk sudah keluarkan garis panduan kepada masjid-masjid mengenai tatacara penggunaan pembesar suara. Jadi saya harap pihak masjid kena patuhilah garis panduan itu.

"Contoh, berdasarkan garis panduan itu, sesi kuliah ilmu atau ceramah yang dilaksanakan di dewan utama masjid disarankan untuk menggunakan pembesar suara bahagian dalam sahaja. Kenapa pula kita nak jadikan ceramah itu sampai dengar keliling satu kampung?

"(Dalam garis panduan itu) ada waktu yang pembesar suara harus dikuatkan seperti sewaktu azan untuk panggil orang ke masjid. Tetapi sebagai contoh, jika ia ceramah atau sesi kuliah, sepatutnya gunakan pembesar suara dalaman sahajalah," katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gambar tular hari ini, memaparkan dinding pagar sebuah masjid di Taman Pengkalan Jaya, Jalan Pasir Puteh di sini, diconteng cat merah tertera tulisan, 'Jangan buka bunyi terlalu kuat'.

Mohd Yusop bagaimanapun memaklumkan beliau belum dimaklumkan berkaitan perkara itu justeru enggan mengulas.

"Tapi itulah, kita sudah ada garis panduan. Saya nak komen mengenai masjid itu pun, saya tidak pasti lah apa (isu) maksud dia yang masjid itu buka bunyi terlalu kuat?" katanya.

Mengikut garis panduan itu, penggunaan pembesar suara bahagian luar dan dalam diharuskan bagi tujuan azan dan iqamah, selain amalan tarhim iaitu membaca atau memperdengarkan al-Quran menggunakan tahap nyaringan (volume) sederhana dalam jangkamasa lima minit sebelum azan.

Bagi bacaan imam ketika solat, amalan zikir, dan berdoa selepas solat pula, adalah disarankan untuk menggunakan pembesar suara bahagian dalam masjid sahaja dan begitu juga bagi sesi kuliah yang dilaksanakan dalam dewan utama masjid.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berkaitan kejadian dinding pagar masjid diconteng.

"Ada (menerima laporan). Nanti saya bagi (maklumat lanjut)," katanya.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!