About Me

‘Kita sudah penat terperuk di rumah’

                       gambar hiasan 

RASANYA, sudah ramai yang melontarkan pandangan, nasihat kepada kerajaan supaya ‘buatlah betul-betul’ pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, seperti PKP 1.0.

Ketika itu (PKP 1.0), kita sebenarnya sudah berjaya mengekang penularan Covid-19 dan beralih ke fasa PKP Pemulihan (PKPP).

Kini PKP 3.0 sudah sebulan kita ‘hadap’, kita bersama berkorban tidak pulang ke kampung ketika Aidilfitri, ada juga yang tak sempat menatap wajah orang tua buat kali terakhir dek kerana larangan rentas negeri dan daerah, ada anak-anak berkorban masa ‘melepak’ di kebun getah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Peniaga ‘gulung tikar’, bukan kerana jualan ‘laku keras’ tetapi kerugian, kes bunuh diri meningkat, tak kurang juga ramai yang mula ‘angkat’ bendera putih.

Sudah sebulan ‘terperuk’ di rumah menantikan kes menurun saban hari, tetap juga melebihi 5,000 kes sehari. Kelmarin, 6,276 kes baharu dicatatkan, sebelumnya, 6,437 kes, dan hari sebelumnya, 5,218 kes.

Dan, setiap hari Kementerian Kesihatan melaporkan sektor perkilangan merekodkan jumlah jangkitan baharu bagi kluster tempat kerja.

Tetapi, lain pula kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang seakan-akan menolak kenyataan Kementerian Kesihatan. Siapa yang betul sebenarnya? Perkara beginilah yang mengundang kemarahan rakyat.

“Kita ni, sudahlah penat terperuk di rumah, kes tetap tinggi. Orang kata tutup kilang, tak nak buat. Kalau begini, sampai 10 tahun kita akan hadap PKP”. Demikian antara komen-komen kemarahan rakyat yang disalurkan mereka melalui laman media sosial.

Sesekali, menteri kena baca keluhan rakyat ini. Luangkan sedikit masa baca satu persatu apa yang rakyat mahukan. Jangan fikir kata-kata dan cadangan kita sahaja yang betul. Adakalanya, pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang bagi cadangan kepada menteri, kebanyakan mereka golongan ‘kayangan’ yang tak makan burger di tepi jalan. Jadinya, menteri kena ambil inisiatif sendiri, ronda kawasan senyap-senyap dan lihatlah nasib rakyat.

Jadilah seperti Saidina Umar al-Khattab yang terkenal dengan kisahnya menyamar dan membuat rondaan serta menyelesaikan derita seorang ibu ‘menggoreng’ batu bagi mendiamkan anak-anaknya yang sedang kelaparan.

Beranikah, sanggupkah menjadi seperti Umar al-Khattab? Buatlah sesuatu demi rakyat, bukan untuk kepentingan lain. Sekali lagi, ‘kita sudah penat ‘terperuk’ di rumah’.

 

Metra Syahril Mohamed ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!