About Me

Kilang perlu beroperasi, pekerja usah bebas bergerak


Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terlalu lama sejak Mac tahun lalu memberi kesan dan tekanan yang amat besar kepada rakyat.

Banyak operasi perniagaan besar mahupun kecil terpaksa ditutup atau beroperasi sekadar nyawa-nyawa ikan kerana aktiviti menjana ekonomi sudah tidak lagi berjalan seperti biasa. Kesannya bukan sahaja ramai yang kehilangan kerja, malah yang bekerja sendiri juga terpaksa mengorek tabung demi kelangsungan hidup.

Ramai yang mula marah-marah. Lebih teruk, sudah ada segelintir dalam kalangan kita yang mengambil jalan pintas dengan ‘meragut’ nyawa sendiri.

Persoalan yang sering bermain di fikiran rakyat ketika ini ialah sudahkah kita mengambil langkah yang betul untuk menangani Covid-19? Antara isu utama yang menjadi kemarahan sebahagian besar rakyat yang ‘terpaksa berkurung’ ketika ini ialah mengenai operasi di sektor perkilangan.

Bagi mereka, sektor itulah yang menjadi punca kepada sukarnya kes harian Covid-19 turun ke angka yang sepatutnya walaupun pihak berkuasa menafikan perkara tersebut dengan mendakwa sektor perkilangan bukan penyumbang utama kepada kes pandemik itu.

Benar, sektor perkilangan amat penting untuk proses penjanaan ekonomi negara, namun apakah langkah konkrit yang telah dilakukan untuk meyakinkan rakyat bahawa tempat itu bukannya punca kepada tersebarnya kes Covid-19 selain memastikan pekerjanya bebas daripada pandemik itu?

Memang kita tidak mahu sektor itu ditutup, tetapi semua orang tahu para pekerja di kilang-kilang tidak boleh lari daripada duduk bersama-sama walau seketat mana pun prosedur operasi standard dilakukan.

Untuk mengatasi permasalahan ini, semua pekerja seharusnya diberi keutamaan dalam proses vaksinasi berbanding pihak-pihak lain yang kurang berisiko.

Selain itu, jika proses vaksinasi masih tidak dapat dijalankan, semua pekerja sektor industri itu harus diasingkan daripada persekitaran awam melalui pelaksanaan gelembung industri buat sementara waktu.

Lihat apa yang Singapura lakukan, semua rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu tidak boleh bebas bergerak selain tidak dibenarkan untuk berulang-alik ke negara ini, sehingga ramai dalam kalangan pekerja tersebut telah berada di negara itu lebih setahun.

Anda boleh bayangkan apa yang akan terjadi jika semua pekerja dari Malaysia itu berulang-alik seperti biasa? Perkara itu tidak berlaku di negara kita kerana mereka bebas ke sana dan ke mari selain pulang ke rumah seperti biasa sedangkan dalam keadaan berisiko.

Jika strategi ini diguna pakai, sektor perkilangan akan terus dapat berjalan dengan risiko jangkitan dan merebaknya pandemik ini dapat dikecilkan.

Negara tidak mampu untuk kehilangan pelabur dalam keadaan sekarang. Jika sebuah kilang ditutup, ia bukan setakat kilang terbabit yang terkesan, malah turut melibatkan rantaian yang lebih besar termasuk vendor-vendor sehinggalah kepada pengusaha gerai makan di tepi-tepi jalan.

- Kosmo 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!