About Me

Ketuk pintu setiap rumah cari anak hilang ketika ribut


Hulu Terengganu: Seorang bapa nekad mencari anaknya selepas mendapati kanak-kanak berusia 12 tahun itu 'hilang' ketika ribut melanda Perumahan Padang Setengge, Kuala Berang, di sini, semalam.

Mohd Zainuddin Kamarul Zahari, 38, berkata, sebelum kejadian, anaknya, Adam Jazmi dikatakan sedang bermain basikal di luar rumah menyebabkan dia cemas kerana bimbang anak sulung daripada dua beradik itu hilang 'diterbangkan' angin.

"Dalam keadaan ribut yang ketika itu menerbangkan berpuluh-puluh kepingan atap rumah penduduk, saya nekad mengetuk setiap pintu rumah jiran sebelum lega apabila menemui Adam dalam keadaan selamat di sebuah jiran," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Isterinya, Nadiah Mohd, 42, berkata, sebelum kejadian dia bersama anak perempuannya, Nur Ain Amirah, 8, berada di luar rumah bersama jiran manakala suami sedang berehat di dalam rumah.

"Tiba-tiba saya nampak kepulan asap putih berpusar dan bunyinya sangat menakutkan, kira-kira jam 6 petang.

"Sekelip mata, atap rumah penduduk yang tinggal di blok hadapan rumah saya berterbangan di udara. Melihat keadaan itu, saya segera membawa anak masuk ke rumah bagi menyelamatkan diri.

"Ketika itu saya tidak nampak kelibat anak lelaki saya sebelum meminta suami mencari di rumah jiran," katanya.

Nadiah yang tinggal di perumahan itu sejak sembilan tahun lalu berkata, kejadian itu adalah kali ketiga dan paling buruk berbanding kejadian pada 2010 dan 2017.

Katanya, ribut itu menyebabkan kediamannya turut mengalami kerosakan teruk apabila hampir keseluruhan atap rumah diterbangkan angin.

Seorang lagi mangsa, Zainuyah All, 49 berkata, suaminya, Fauzi Mohamad, 49, melaungkan azan sebelum keadaan menjadi reda beberapa minit kemudian.

"Ketika kejadian saya bersama suami berada di hadapan rumah dan suami bertindak melaungkan azan sebanyak dua kali sebelum keadaan menjadi reda," katanya yang menjalankan perniagaan barangan runcit di perumahan berkenaan.

Katanya, berikutan kejadian itu, dia mengalami kerugian lebih RM2,000 apabila 25 keping atap kediamannya diterbangkan angin selain kerosakan membabitkan beberapa barangan jualan.

Dalam kejadian itu, hampir 300 penghuni membabitkan 100 rumah rosak yang sebilangan besarnya membabitkan kerosakan bahagian atap.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!