About Me

Keluarga huni bangsal kambing dibantu


Nibong Tebal: Lima beranak terpaksa menjadikan bangsal kambing di Kampung Teluk Ipil, di sini, sebagai tempat berteduh sementara selepas ketua keluarganya hilang punca pendapatan.

Azman Ahmad, 46, berkata dia bersama isteri dan tiga anaknya berusia 10 hingga 15 tahun baharu 10 hari tinggal di bangsal itu selepas tidak mampu membayar tunggakan sewa rumah berjumlah RM600 akibat kesempitan wang.

Menurutnya, dia yang sebelum itu bekerja sebagai tukang rumah tidak dapat berbuat demikian pada masa ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Saya terputus pendapatan dan terpaksa keluar dari rumah sewa sebelum mengambil keputusan menumpang buat sementara di bangsal kambing yang terletak tidak jauh dengan rumah adik-beradik saya.

"Saya juga buntu memikirkan nasib dialami selain tidak mahu menyusahkan adik-beradik lain yang turut mempunyai komitmen.

"Lagipun saya hanya mahu tinggal sekejap sahaja dan apabila keadaan ekonomi kembali stabil saya akan bekerja dan mencari rumah sewa lain," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, dia membina dinding dan lantai untuk tidur selain bermalam dengan hanya menggunakan lampu pengecas atau lilin.

"Untuk mandi dan memasak pula, saya mengambil bekalan air dari rumah adik-beradik yang tinggal berdekatan. Saya juga bersyukur sebab banyak jiran prihatin yang membantu," katanya.

Terdahulu, kisah penderitaan Azman tular di media sosial dan mendapat perhatian pelbagai pihak yang tampil menghulurkan bantuan.

Azman berkata, dia berterima kasih di atas keprihatinan yang diberikan kepada keluarganya dan tidak menyangka bahawa bantuan sampai dengan segera.

Sementara itu, Pegawai Zakat Pulau Pinang (ZPP) Daerah Seberang Perai Selatan, Ahmad Zaidan Shahidan berkata, pihaknya menghulurkan bantuan kecemasan one-off sebanyak RM300 untuk keluarga berkenaan.

"Pada masa sama, kita mempertimbangkan untuk membayar sewa rumah selama tiga bulan bagi meringankan beban keluarga terbabit.

"Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula akan mencari peluang pekerjaan yang sesuai untuk Azman kerana ketika ini kerja tukang rumah tidak boleh beroperasi selain terdapat juga beberapa bantuan daripada pelbagai pihak untuk keluarga ini," katanya.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!