About Me

Kantoi sorok di ruang dinding


Kuala Lumpur: Cubaan beberapa warga asing melarikan diri dengan menyorok pada ruang dinding yang diubah suai gagal selepas mereka ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di bangunan di Pudu, di sini, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi itu dijalankan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 5 petang, semalam, susulan operasi penguatkuasaan dan pematuhan di bawah Op Patuh yang dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri.

"Dalam operasi itu, kami memeriksa 245 individu dengan menahan 72 warga asing termasuk 29 wanita dari pelbagai negara berusia antara 25 hingga 50 tahun.

"Ketika pemeriksaan dijalankan, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan menyorok pada ruang dinding yang diubah suai. Namun, cubaan itu gagal selepas mereka berjaya dikesan oleh pegawai operasi.

"Selain itu, pegawai operasi terpaksa memecahkan pintu kerana kebanyakan penghuni di rumah yang diperiksa enggan memberikan kerjasama dan menyorok di dalam rumah dengan mematikan lampu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, lokasi itu juga dipercayai menjadi sarang pelacuran membabitkan wanita warga asing dan pernah beberapa kali diserbu oleh JIM sebelum ini.

"Pemeriksaan di lokasi mendapati kawasan yang dihuni oleh majoriti warga asing itu bukan sahaja tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah dalam keadaan sangat kotor dan tidak teratur.

"Selain itu, kemudahan awam seperti lif, lampu tangga dan koridor tidak berfungsi dengan baik selain kawasan dalam bangunan dipenuhi sampah serta berbau busuk," katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan imigresen yang dikenal pasti dalam operasi itu adalah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, menyalahgunakan pas dan tinggal lebih masa.

"Semua tahanan akan dibawa menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, di sini, untuk siasatan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"JIM akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan bersama agensi lain di bawah Op Patuh yang di terajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Operasi penguatkuasaan yang dijalankan bukan sahaja untuk mengesan dan menahan pendatang haram dan individu yang bersekongkol dengan mereka, malah bertujuan untuk mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat," katanya.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!