About Me

Imarah masjid dengan pematuhan SOP


Putrajaya: Kebenaran untuk membuka semula surau dan masjid di sekitar Wilayah Persekutuan bermula esok mampu mengimarahkan kembali rumah ibadat bagi umat Islam itu yang ditutup ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, besar harapannya selepas kebenaran yang diberikan ini umat Islam dapat mengunjungi semula masjid atau surau berdekatan.

"Saya harap semua dapat mengunjungi masjid yang sudah berdaftar serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Imarah masjid ini adalah wajib, bukannya sunat.

"Kita sebagai umat Islam, Allah sendiri suruh kita mengimarahkan dan sepatutnya kita imarahkanlah masjid berkenaan. Datang masjid ini ia membabitkan syiar Islam kerana ia membabitkan solat Jumaat, solat fardu dan sebagainya.

"Yang penting adalah kita ikut SOP dan ada penjarakan sosial supaya kita terhindar daripada wabak Covid-19 ," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelepasan Misi Bantuan Ihsan : Panggilan Pulau ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian yang dilaksanakan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutid MAPIM, Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengeluarkan ketetapan baharu berhubung had jemaah di masjid dan surau itu membabitkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuat kuasa esok.

Jumlah jemaah yang dibenarkan dalam satu masa adalah mengikut keluasan sesebuah masjid atau surau, manakala solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha dibenarkan antara 12 hingga 300 jemaah pada satu masa.

Selain itu, untuk pelaksanaan solat fardu pula, jumlah jemaah yang dibenarkan adalah antara 12 hingga 100 jemaah.

Sementara itu, mengenai misi bantuan yang dilaksanakan hari ini, Ahmad Sani berkata, sebanyak 1,000 kotak bantuan diberikan yang dapat beri manfaat kepada lebih 700 keluarga di dua pulau berkenaan.

Katanya, bantuan berkenaan bernilai RM250,000 yang merangkumi 500 set masing-masing set lampin dan susu serta beberapa bantuan asas yang dapat mengurangkan beban keluarga di kepulauan terbabit.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Sany berkata, pihaknya turut mengenalpasti individu T20 dan M40 yang kini sudah menjadi golongan B40.

"Contohnya kita pergi ke rumah mereka, rumah elok dan ada juga kereta yang boleh dikatakan sebagai mewah. Namun, sebenarnya mereka ini memerlukan bantuan kerana ada yang diberhentikan kerja dan perniagaan sudah gulung tikar.

"Golongan ini juga kita akan bantu, sebenarnya mereka ini sedang pendam perasaan untuk beritahu masalah mereka. Ada juga antara golongan ini sudah kita bantu dan kita sedang giat untuk mendapatkan lebih data mengenai golongan berkenaan," katanya.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!