About Me

Hanya satu mata buat JDT


Bangkok: Johor Darul Ta'zim (JDT) gagal mengotakan janji untuk melakar kemenangan pada aksi terakhir Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila seri 0-0 dengan Ratchaburi FC di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam ini.

Keputusan dilakar skuad Harimau Selatan dalam kempen ACL musim ini menyamai pencapaian musim 2019 dengan satu kemenangan dan satu seri serta tewas empat kali.

Sementara itu, Nagoya Grampus muncul juara kumpulan selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dan layak ke pusingan kalah mati biarpun sekadar seri 1-1 dengan Pohang Steelers yang berada di tangga kedua.

Pada aksi menentang kelab Thailand itu, pengendali JDT, Benjamin Mora mempertaruhkan semula gandingan Shane Lowry dan Mauricio Dos Santos bagi menguatkan benteng pertahanan manakala Ramadhan Saifullah Usman diberi kepercayaan berada dalam kesebelasan utama.

JDT hampir mencipta jaringan seawal minit keenam selepas bola umpanan Ariff Aiman Hanafi membuka ruang buat Safiq Rahim yang merembat kencang, namun sipi di kiri gawang gol ketika penjaga gol, Kampon Phatomakkukul tertewas.

Anak didik Mora menguasai perlawanan, tetapi tampak sukar untuk melakukan serangan berbahaya apabila skuad kendalian Sek-san Siripong beraksi secara kompak di kawasan tengah padang.

Ratchaburi FC sempat mengatur serangan balas pada minit ke-31 apabila Steven Langil melepasi kawalan Mauricio Dos Santos sebelum merembat bola leret, tetapi sempat ditampan penjaga gol, Farizal Marlias dengan kaki.

Farizal sekali lagi cemerlang apabila menepis bola rembatan selepas gerakan solo Langil yang menyusup dari sayap kanan pada minit ke-49.

Bergson Da Silva tenggelam sebagai penyerang utama Harimau Selatan apabila tiada percubaan berbahaya dijelmakan dan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!