About Me

Halang tugas penjawat awam, 2 lelaki ditahan


SUNGAI PETANI: Polis menahan dua lelaki kerana menghalang tugas penjawat awam di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dalam dua kejadian berasingan hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata dalam tangkapan pertama, seorang lelaki berusia 44 tahun ditahan ketika menunggang motosikal di sekatan jalan raya (SJR) PKPD di Jalan Bakar Arang di sini pada jam 1.35 tengah hari.

Beliau berkata, ketika pegawai polis menyoal lelaki itu, dia memaklumkan mahu keluar dari kawasan itu untuk mengambil barang.

"Pegawai polis terbabit kemudian memberitahu lelaki itu tiada sebarang pergerakan keluar dibenarkan dari kawasan PKPD dan mengarahkan lelaki itu berpatah balik.

"Bagaimanapun, lelaki itu tidak mengendahkannya dan terus mengeluarkan kata-kata kesat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, pegawainya kemudian meminta dokumen pengenalan diri daripada lelaki terbabit sebanyak tiga kali untuk diperiksa, namun dia masih berkeras dan tidak memberi kerjasama.

Berikutan itu, katanya, lelaki terbabit ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

"Suspek yang bekerja sebagai pemandu bas memberitahu dia tinggal di rumah ibu mentuanya di Taman Cahaya PKNK, Sungai Petani iaitu kawasan PKPD.

"Dia memaklumkan mahu mengambil makanan dari ibu saudaranya di kawasan berdekatan lampu isyarat Bakar Arang," katanya.

Adzli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan jam 1.15 tengah haru di SJR PKPD Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, Bedong, pihaknya menahan sebuah kereta PROTON Saga BLM dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun.

Beliau berkata, anggotanya bertanyakan tujuan lelaki itu keluar masuk kawasan PKPD Taman Bandar Baharu, namun lelaki itu enggan memberi kerjasama.

"Lelaki itu turut mengugut anggota bertugas dan kemudian bertindak memecut kenderaan serta cuba merempuh anggota berkenaan," katanya.

Adzli berkata, anggota terbabit menghubungi bilik Gerakan COVID-19 Kuala Muda dan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) berjaya mengesan lelaki terbabit sebelum dibawa ke IPD Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

"Siasatan mendapati suspek baru selesai membawa pesakit iaitu wanita yang juga jirannya untuk dialisis di sebuah hospital swasta di sini.

"Lelaki itu juga mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) sakit mental dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Peraturan 16(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (Langkah-Langkah Di Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ)(Pelan Pemulihan Negara) 2021.

"Semakan rekod juga mendapati, suspek yang tidak bekerja mempunyai empat rekod lampau mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953," katanya.

Adzli berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan dan akan direman esok.

- Berita Harian 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!