About Me

Dahulu gaji tinggi, kini bawah RM3,000


PETALING JAYA – Purata gaji dan upah bulanan kira-kira 9.4 juta pekerja rakyat Malaysia te­lah menurun sebanyak sembilan peratus pada tahun 2020, kemerosotan kali pertama sejak ia mula direkodkan pada 2010.

Ia berdasarkan statistik gaji dan upah tahun 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan semalam, setelah dua tahun berturut-turut merekodkan purata gaji dan upah melebihi RM3,000 sebulan, namun tahun lalu ia telah menurun kepada RM2,933.

Pada 2019, purata gaji dan upah bulanan sebanyak RM3,224, manakala RM3,087 pada 2018.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, sepanjang 2020, pasaran buruh Malaysia mengalami momentum tidak menentu berikutan krisis kesihatan dan kesan ekonomi.

“Ini telah menyebabkan rak­yat kehilangan pekerjaan serta pembatalan atau pembekuan pengambilan pekerja baharu yang seterusnya mengakibatkan penurunan dalam jumlah guna tenaga.

“Langkah mengekang penula­ran Covid-19 yang ketat juga te­lah mengehadkan waktu operasi perniagaan dan menyebabkan berlakunya pengurangan waktu bekerja,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Statistik itu dilakukan bagi mengukur gaji dan upah bulanan yang diterima pekerja sepenuh masa atau yang setaraf dalam sektor swasta dan awam.

Menurutnya, penurunan gaji dan upah bulanan di kawasan bandar pula mencatatkan penurunan yang lebih besar iaitu 9.3 peratus kepada RM3,089, manakala nilai purata di kawasan luar bandar berkurangan 5.5 pe­ratus kepada RM2,086.

Katanya, lima negeri merekodkan purata gaji bulanan di atas paras nasional yang didahului Putrajaya sebanyak RM4,497, Kuala Lumpur (RM3,823), Selangor (RM3,480), Negeri Sembilan (RM3,013) dan Labuan (RM2,942).

“Negeri-negeri lain pula di bawah paras nasional,” ujarnya.

Melaka merekodkan purata gaji RM2,925 sebulan, diikuti Pulau Pinang (RM2,883), Johor (RM2,840), Pahang (RM2,684), Sabah (RM2,678), Perlis (RM2,596), Sarawak (RM2,509), Perak dan Kelantan (RM2,463), Terengganu (RM2,424) serta Kedah (RM2,300).

Mohd. Uzir berkata, mengikut sektor ekonomi, semuanya merekodkan penurunan dalam nilai purata gaji dan upah bulanan.

“Tiga sektor mencatatkan penurunan dua digit iaitu sektor pertanian (-20 peratus), perlombongan dan pengkuarian (-17.7 peratus) dan pembinaan (-10.4 peratus).

“Sektor perkhidmatan dan pembuatan merekodkan pengurangan purata gaji dan upah bulanan masing-masing 9.4 peratus dan 2.8 peratus,” ujarnya.

Katanya, senario sama berlaku di peringkat global yang mana International Labour Organization (ILO) melaporkan berdasarkan data awalan, trend penurunan dapat disaksikan dari segi nilai atau kadar pertumbuhan purata gaji di dua pertiga negara di dunia termasuk Jepun, Republik Korea dan United Kingdom.

“Negara yang melaksanakan langkah pengekalan pekerjaan didapati berupaya mengekalkan guna tenaga walaupun pada gaji dan upah yang lebih rendah.

“Malaysia turut mengalami keadaan sama, dengan program subsidi upah serta pengekalan pekerjaan didapati membantu mengurangkan impak kehilangan pekerjaan pada 2020,” katanya.

Menurutnya, Pertubuhan Ke­selamatan Sosial melaporkan seramai 107,024 individu telah hilang pekerjaan, manakala bilangan yang memperoleh pekerjaan pada 2020 seramai 160,554 orang.

Ujarnya, berdasarkan situasi tahun ini, cabaran masih berte­rusan memandangkan kes baharu Covid-19 terus meningkat.

- Kosmo 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!