About Me

COVID-19: Kes turun seminggu, dua minggu lagi - KP Kesihatan


KUALA LUMPUR: Penurunan jangkitan kes harian COVID-19 di negara ini dijangka dapat dilihat dalam tempoh terdekat sama ada seminggu atau dua minggu lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan kes sejak kebelakangan ini sudah dijangka berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Lembah Klang dan tindakan saringan secara besar-besaran.

"Dengan pengawalan yang baik, kita akan lihat hasilnya seminggu atau dua minggu lagi, baru kes akan nampak penurunan.

"Pada masa sama, program vaksinasi perlu dipertingkatkan. Sebanyak empat juta dos vaksin sudah diberikan kepada Selangor dan Kuala Lumpur juga sudah mencapai tahap vaksinasi amat memuaskan.

"Ini boleh bendung penularan di Lembah Klang," katanya ketika diundang sebagai panel program 'The Nation' bertajuk 'COVID-19: Apa Lagi Ikhtiar Kita' yang disiarkan secara langsung menerusi Bernama TV malam ini.

Dr Noor Hisham berkata, situasi sama berlaku ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini yang turut mencatatkan lonjakan kes.

"Kalau lihat kepada PKP 2.0 dan PKP 3.0, PKP 2.0 yang dilaksanakan pada 13 Januari, kes melonjak sehingga 5,725 pada 30 Januari iaitu lebih kurang dua minggu.

"Barulah (kemudian) kita lihat ada penurunan kes. Begitu juga pada 12 Mei, kita buat PKP 3.0, kes melonjak pada 29 Mei iaitu 9,020 kes.

"Selepas itu kes mula menurun, jadi sekarang ini kita jangka kes akan meningkat kembali kerana usaha pengesanan komuniti giat dijalankan iaitu saringan secara besar-besaran ," katanya.

Beliau berkata, berikutan situasi COVID-19 yang berlanjutan negara terpaksa mengimbangkan di antara faktor ekonomi dan kesihatan.

"Kalau kita lihat pelaksanaan PKP pada 18 Mac ia dibuat dengan amat ketat hingga negeri yang tiada kes pun tertakluk kepada PKP, contohnya Perlis dan Sarawak.

"Sekarang kita lakukan secara lebih bersasar kepada negeri yang mempunyai risiko tinggi, tetapi negeri yang tiada risiko tetap dikawal sempadan supaya kes jangkitan tidak masuk.

"Apabila (kes) berpanjangan, kita cuba mengimbangkan ekonomi dan kesihatan, tetapi ia memakan masa yang lama," katanya.

Katanya, situasi itu menyebabkan tekanan khususnya pihak petugas kesihatan kerana tidak dapat mencapai imbangan yang terbaik.

"Itu yang mungkin perlu kita lihat bagaimana boleh dijalankan tindakan bersasar," katanya.

- BERITA HARIAN 


LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!