About Me

Beli musang king gred AAA RM12,000


BENTONG – Walaupun harga durian kini semakin jatuh di­sebabkan pengeluaran yang ba­nyak, namun harga bagi ­jenis musang king dikatakan masih stabil dan mendapat permintaan yang berterusan dalam kalangan peminat raja buah.

Ini terbukti apabila seorang penggemar durian dari Putrajaya sanggup mengeluarkan wang sebanyak RM12,000 untuk membeli empat bakul durian musang king dari daerah ini kelmarin.

Penjual durian, Mohammad Nafri Masrom, 33, berkata, ahli perniagaan itu merupakan pe­langgan tetapnya dan sudah beberapa kali membeli durian musang king gred AAA atau gred eksport yang mempunyai kualiti terbaik pada bulan ini.

“Saya dimaklumkan pada kali ini dia membeli durian musang king bukan untuk dijual, sebaliknya dimakan bersama ahli keluarga dan rakan-rakannya.

“Bagi penggemar durian, mereka sanggup membayar de­ngan harga tinggi asalkan dapat menikmati keenakan musang king,” katanya di sini semalam.

Menurut Mohammad Nafri, anggaran purata berat sebiji durian musang king gred AAA yang dijualnya ialah dua kilogram.

“Sekiranya ada tempahan dalam jumlah yang besar, baru saya ambil buah daripada pekebun. Untuk musang king, saya menjualnya pada harga RM60 sekilogram,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohamad Nafri berkata, harga durian musang king masih mendapat permintaan daripada penggemar raja buah sama ada di dalam atau pun luar negara.

Beritahu lelaki itu, pada masa ini harga runcit durian musang king adalah RM18 sekilogram bagi gred C, RM32 (gred B), RM52 (gred A) dan RM60 (gred AAA).

“Kebiasaannya mana-mana penggemar durian yang datang ke kedai saya hanya memaklumkan gred yang dimahukan dan terus membayar mengikut harga yang ditetapkan tanpa tawar-menawar.

“Mereka tak kisah berhabis wang beli durian, yang penting kualitinya terbaik,” katanya.

Bagi memastikan orang ramai itu tidak terlepas peluang menikmati buah kegemaran mereka, Mohmamad Nafri yang mempunyai 15 pekerja turut menawarkan khidmat penghantaran durian termasuk ke Lembah Klang.

Jelasnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bukan lagi halangan bagi mereka yang mahu menikmati durian terutama dari Bentong.

Sementara itu, Mohamad ­Nafri berkata, pengeluaran buah durian yang semakin meningkat menyebabkan kebanyakan durian kini ditawarkan dengan harga yang lebih murah.

Durian D24 misalnya dijual pada harga RM10 sekilogram, manakala durian kampung pula RM6 sekilogram.

- Kosmo 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!