About Me

Baru hilang sumber pendapatan, rumah pula terbakar


RAWANG – Seorang pemuzik jalanan yang baru kehilangan sumber pendapatan diduga sekali lagi apabila kediaman yang diduduki kurang sebulan musnah dalam kebakaran, hari ini.

Lebih menyedihkan, beberapa barangan seperti perabot masih berbalut lengkap dan tidak sempat dibuka memandangkan baru bulan lepas dia berpindah ke Apartmen Taman Desa Country Homes, di sini.

Riswanto Razali, 38, berkata, dia berpindah ke apartmen tersebut selepas sumber pendapatannya sebagai pemain muzik terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

“Saya masih dirundung sedih selepas sumber pendapatan terjejas, kini saya dan keluarga diuji pula dengan kebakaran rumah sewa yang baru diduduki bulan lepas.

“Barang- barang seperti perabot masih berbalut dan belum sempat dibuka, sedihnya tiada satu pun barangan yang sempat kami selamatkan,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menceritakan kejadian, ujarnya, kebakaran berlaku sekitar pukul 12 tengah hari ketika dia bersama isteri dan anak berumur tujuh tahun sedang tidur di dalam bilik.

“Saya tersedar daripada tidur sebaik menyedari tilam di ruang tamu terbakar, saya cuba memadamkannya namun gagal lalu segera mencari anak buah yang berumur empat tahun yang tidak kelihatan.

“Rupa-rupanya dia berada dalam tandas lalu saya membawanya masuk ke dalam bilik kerana kami gagal keluar akibat asap tebal. Beberapa minit kemudian, ada jiran datang membantu kami keluar dari rumah,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pukul 12.35 tengah hari.

“Kebakaran berlaku melibatkan dua unit kediaman di tingkat empat yang dihuni tujuh individu terdiri daripada tiga dewasa dan empat kanak-kanak yang berumur lingkungan empat hingga 40 an.

“Bagaimanapun semua mangsa selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. 

– K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!