About Me

Bangun seawal 3 pagi, tadah air


SIK – Lebih 300 penduduk di Kampung Padang Toi di sini muak apabila masalah gangguan bekalan air yang dihadapi mereka sejak setahun lalu masih belum selesai.

Rata-ratanya melahirkan rasa tidak puas hati dengan Syarikat Air Darul Aman (SADA) kerana gagal mengatasi masalah tersebut sehingga menyukarkan kehidupan seharian mereka.

Penduduk kampung, Noriza Mahmud, 50, berkata, mereka terpaksa bangun seawal pukul 3 pagi untuk menadah air yang hanya diperoleh pada waktu itu.

Katanya, pada waktu siang pula penduduk langsung tidak mendapat bekalan air dipercayai berpunca daripada tekanan air rendah.

“Sudah lebih setahun kami menghadapi masalah ini dan perkara tersebut telah dilaporkan kepada SADA tetapi masih tiada apa-apa perubahan,” kata­nya di sini semalam.

Bercerita lanjut Noriza mendakwa, pihak SADA tidak menghantar bekalan air bersih mengikut ja­dual sehingga penduduk terpaksa meng­hubungi syarikat itu untuk mendapatkan bekalan.

“Saya dan suami terpaksa mengeluarkan lebih RM1,000 untuk membina tangki air di luar rumah,” ujarnya.

Seorang ibu tunggal, Shakinah Hassan, 45, memberitahu, dia terpaksa mengupah penduduk membina telaga bawah tanah bagi mendapatkan bekalan air untuk kegunaan harian.

“Saya menggunakan duit bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), zakat, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan duit upah menoreh getah untuk berjumlah RM1,500 membina telaga bawah tanah,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Syed Mohamad Syed Ali, 47, memberitahu, biarpun terdapat sejumlah penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Chepir, namun tidak dapat menggunakan sumber air itu ke­rana keruh dan tercemar.

“Air sungai ini semakin keruh dipercayai berpunca daripada projek lombong pasir dan pembalakan,” ujarnya.

Tambahnya, kebanyakan penduduk juga tidak mampu untuk membina telaga bawah tanah dan bergantung sepenuhnya kepada air yang dibekalkan SADA.

Sehubungan itu, katanya, dia berharap SADA dapat mengatasi segera masalah tekanan air rendah yang dihadapi penduduk di kampung tersebut.

 -K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!