About Me

20,000 pokok hutan ganti pokok durian Musang King


Raub: Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat sudah menanam lebih 5,000 pelbagai spesies pokok hutan di kawasan Hutan Simpan Batu Talam sejak tiga hari lalu.

Kawasan Hutan Simpan Batu Talam yang sebelum ini dijadikan kebun durian Musang King secara haram seluas lebih 101 hektar itu akan di tanam dengan kira-kira 20,000 pokok hutan lagi.

Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Wan Ghazali Wan Ali berkata dalam masa tiga hari pihaknya berjaya menanam kira-kira 5,000 pokok

Merawan, Meranti, Balau, Keruing dan beberapa spesies lain.

Menurutnya, dalam tempoh seminggu dijangka sebanyak 10,000 pokok dapat di tanam dengan lebih 100 kakitangan JPNP terbabit dengan aktiviti menanam yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

"Tanah yang berbaja dan lembut di kawasan ini melancarkan lagi kerja menanam walaupun terpaksa memindahkan pokok ke kawasan berbukit.

"Kita menggunakan anak pokok yang terdapat di tapak semaian Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat Rotan Tunggal, di sini selebihnya akan diambil di beberapa Pejabat Hutan Daerah (PHD) lain.

"Sebelum kerja menanam pokok hutan dilakukan pokok durian Musang King yang ditebang perlu dipotong beberapa bahagian terlebih dahulu bagi memudahkan aktiviti menanam selain untuk memastikan pembesaran pokok hutan tidak terjejas," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, kakitangan yang bertugas terpaksa memindahkan anak pokok daripada pusat pengumpulan dalam Hutan Simpan Batu Talam ke kawasan menanam secara berperingkat, bentuk muka bumi yang berbukit menjadi cabaran pada mereka terbabit dengan kerja berkenaan.

"Kita akan berusaha secepat mungkin untuk selesaikan kerja menanam pokok hutan di kawasan terbabit, kita tidak boleh melengahkan kerja berkenaan bagi mengelak kejadian hakisan dan pencemaran sumber air.

"Hutan Simpan Batu Talam adalah kawasan tadahan air yang diwartakan pada 2002, sekiranya pencemaran berlaku akan menjejaskan sumber air penduduk daerah ini," katanya.

Tinjauan di kawasan Hutan Simpan Batu Talam mendapati kerja menanam pokok hutan sedang rancak dilakukan kakitangan JPNP, kumpulan pengali lubang dan mereka yang menanam bergerak secara serentak.

Mereka yang menjalankan kerja memotong pokok yang telah tumbang bagi memudahkan kerja menanam pokok turut masih berada dalam hutan simpan terbabit.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!