About Me

Wang simpanan susut, Man Raja Lawak terpaksa hentikan bantuan kewangan


Kuala Lumpur: Pelawak dan pelakon komedi, Man Raja Lawak, 44, terpaksa menghentikan bantuan kewangan kepada individu yang menghantar mesej meminta bantuan daripadanya di Instagram berikutan wang tabungannya semakin susut.

Man atau nama sebenarnya Abdul Rahman Kasim ketika dihubungi berkata, dia juga lebih memberi fokus kepada keperluan keluarga termasuk membantu orang-orang memerlukan di sekeliling yang dikenalinya.

"Sebenarnya, sejak penularan Covid-19 tahun lalu hingga sekarang, setiap hari saya menerima lebih 30 mesej daripada individu tak dikenali di Instagram yang meminta bantuan.

"Jumlah wang diminta pula berbeza-beza dengan pelbagai masalah dihadapi mereka. Ada yang minta saya bayarkan sewa rumah sebanyak RM1,600. Jika saya tak boleh beri jumlah itu, RM600 pun tak mengapa dan dia minta wang dimasukkan dengan segera.

"Ramai juga yang minta RM50. Kalau tak dapat, RM10 pun tak mengapa. Dari pagi hingga malam, saya tak henti-henti menerima mesej Instagram daripada individu yang meminta bantuan kewangan," katanya.

Man berkata, ada juga yang dia memohon maaf kerana tidak dapat membantu. Namun, tetap masih ramai yang terdesak dan terus mengirimkan mesej kepadanya.

"Perancangan saya sekarang dengan wang yang ada ialah untuk meneruskan kehidupan sendiri bersama keluarga dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

"Saya pun tak pasti bila boleh aktif memulakan semula kerja-kerja dalam industri seni. Malah, saya pun dah lama tak ada 'job', namun tetap akan terus berusaha mencari rezeki selagi boleh," katanya.

Man berkata, selepas ini jika ada rezeki lebih dan untuk memberi bantuan, dia akan memilih orang yang betul-betul memerlukan termasuk ahli keluarga yang kesempitan wang serta jiran.

Terdahulu, bagi menjelaskan situasi dirinya, Man berkongsi hantaran di Instagram dengan menulis, "meminta jangan sampai memaksa... memberi jangan sampai mengeji".

Selain itu, dia turut menulis di Instagram Story, "Mohon maaf segala bantuan/pinjaman dah tutup. Mohon doakan saya ditambahkan rezeki agar dapat membantu lebih ramai lagi".

Ketika pelaksanaan PKP yang pertama 18 Mac tahun lalu, Man tampil menghulurkan bantuan kepada orang ramai yang terjejas pendapatan akibat Covid-19 menerusi wang RM50,000 dimenanginya ketika menjuarai pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019 bersama kumpulan Puteh.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!