About Me

Terima kasih Cikgu Abidin!


Sandakan: Kesungguhan dan ketekunan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Sapi, di sini yang mesra disapa Cikgu Abidin ketika mengajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) mendapat perhatian netizen.

Ia berikutan Abidin, 53, yang mengajar subjek Ekonomi untuk pelajar tingkatan enam rendah dan atas sanggup membuat pengiraan dengan melakar pada jubin lantai rumahnya.

Beliau sanggup berbuat demikian kerana memerlukan ruang yang luas untuk menunjukkan kaedah pengiraan bagi memastikan semua pelajarnya faham dengan apa yang diajarnya.

Kisahnya mendapat perhatian netizen selepas anak keduanya, Aina Abidin, 23, memuat naik video di TikTok, kelmarin.


Menerusi video itu, kelihatan Abidin khusyuk membuat pengiraan di atas jubin lantai di ruang tamu rumahnya.

Aina, penuntut Ijazah Sarjana Muda Sumber Manusia Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang menetap di Taman Fajar, di sini berkata, video itu dirakam secara suka-suka sahaja dan tidak menyangka ia akan meraih tontonan tinggi hingga tular di laman sosial.

"Kebetulan, saya ada di ruang tamu rumah ketika itu dan nampak ayah sedang membuat lakaran di atas jubin sewaktu mengajar.

"Jadi, saya terus rakam video dan muat naik di TikTok tidak lama selepas itu. Keesokan harinya, saya terima banyak notifikasi dan sebaik diperiksa, saya dapati video itu sudah meraih jumlah tontonan yang tinggi," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Aina, dia baharu menyedari kaedah pengajaran digunakan bapanya itu baru-baru ini.

"Sebagai anak, saya kagum dengan usaha ayah dalam memberi kefahaman kepada pelajar sehingga sanggup menggunakan pendekatan berbeza.

"Sebelum ini, saya tidak tahu bagaimana ayah mengajar pelajarnya dalam tempoh PdPR kerana berada di kampus. Bagaimanapun, sejak pulang ke rumah, saya mula lihat kaedah yang ayah gunakan," katanya.

Aina berkata, ayahnya terpaksa berbuat demikian berikutan papan putih untuk mengajar ada di sekolah.

"Ayah pula perlukan ruang yang luas jadi dia gunakan jubin untuk menulis pengiraan supaya pelajar mudah faham.

"Ayah gunakan pen 'marker' yang boleh dipadam dengan mudah, jadi tiada masalah malah ibu juga faham kerana dia juga seorang guru," katanya.

Berhubung kisah bapanya yang tular, Aina berkata, banyak komen positif diterima daripada pengguna TikTok.

"Boleh dikatakan 85 peratus komen diterima positif dan selebihnya mengecam kerana menganggap ayah tidak menghormati ilmu kerana melakukan pengiraan itu di lantai.

"Hakikatnya, ayah tiada niat begitu sebaliknya semua itu dilakukan bagi menyampaikan ilmu.

"Saya sendiri pernah menjadi pelajar ayah dan dapat lihat semangatnya ketika mengajar malah dia cukup sayang anak muridnya hingga tidak kisah membawa mereka berjalan bagi menghilangkan tekanan," katanya.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!