About Me

Suami isteri didakwa beri anak hisap vape


Selayang: Suami isteri yang tular di media sosial kerana memberikan anak lelaki mereka berusia setahun sembilan bulan menghisap rokok elektronik atau vape, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Kedua-dua tertuduh yang berusia 23 dan 21 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama mengabaikan mangsa dengan memberi kanak-kanak itu menghisap vape yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kedua-duanya dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Sahabat Jaya, Batu Caves, di sini, pada jam 1 pagi, 2 Mei lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 3(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar menawarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberikan jaminan rendah.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.

Mahkamah turut melarang kedua-dua tertuduh untuk tinggal serumah dengan mangsa sehingga kes selesai dan menetapkan 16 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pada 5 Mei lalu, media melaporkan seorang lelaki tular di media sosial, ditahan kerana disyaki memberi anak lelakinya menghisap vape.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe dilapor berkata, laporan polis berkenaan insiden itu dibuat oleh pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!