About Me

Safawi mohon maaf aksi rai jaringan tewaskan Thailand


KUALA LUMPUR: Pemain sayap skuad kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid memohon maaf susulan aksinya meraikan jaringan kemenangan Malaysia menewaskan Thailand pada perlawanan terakhir Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, Rabu lepas.

Tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu yang juga Pemain Paling Bernilai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan dua tahun berturut-turut pada 2018 dan 2019, memberi jaminan tidak akan mengulangi gaya meraikan jaringan yang tidak menyenangkan itu.

"Alhamdulillah syukur, terima kasih kepada penyokong dan penonton yang selalu ada di belakang kami, saya mintak maaf atas celebration (aksi meraikan) yang tak menyenangkan itu, perkara tersebut tidak akan berulang, maaf skali lagi," kata Muhammad Safawi menerusi ciapan dalam akaun Twitter rasminya.

Pada aksi berdepan Thailand, Muhammad Safawi, 24, yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua muncul wira pasukan negara selepas menyempurnakan sepakan penalti untuk membantu Malaysia mengatasi skuad Gajah Perang 1-0 di Stadium Al Makthoum di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ia merupakan jaringan ketiga peribadi Muhammad Safawi dalam kempen kelayakan itu selepas meledak dua gol ketika Malaysia menewaskan Indonesia 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada November 2019.

Bagaimanapun, gelagatnya meraikan jaringan pada minit ke-52 itu dianggap sesetengah peminat sebagai keterlaluan tatkala prestasi pemain itu musim ini tidak memberangsangkan.

Muhammad Safawi dilihat berlari ke arah penjuru padang sambil membuat gaya menekan pad kekunci sebelum meletakkan jari telunjuknya di bibir.

 - BERNAMA

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!