About Me

Remaja, rakan diberkas curi duit tabung anak yatim


MELAKA – Dua lelaki termasuk remaja 16 tahun diberkas polis selepas sembilan jam mencuri duit tabung sumbangan untuk anak-anak yatim di Masjid Al Faizin Kampung Padang, Bukit Lintang di sini semalam.

Suspek bersama rakannya berusia 29 tahun dicekup antara pukul 2.45 hingga 3 petang di Rumah Awam Air Molek di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 9.55 pagi menerusi laporan dibuat oleh seorang jemaah yang menyedari kejadian selepas menunaikan solat subuh.

Katanya, pengadu mendapati tabung derma anak-anak yatim dimiliki oleh Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat yang di letakkan di ruang pintu masuk masjid telah dipecahkan.

“Semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di masjid tersebut menunjukkan dua lelaki telah masuk ke masjid tersebut dalam keadaan memakai topi keledar dan pelitup muka pada pukul 4.32 pagi.

“Berdasarkan hasil maklumat itu, kita telah membuat tangkapan suspek pertama iaitu seorang remaja berusia 16 tahun pada pukul 2.45 petang di Rumah Awam Air Molek, diikuti tangkapan kedua kira-kira 15 minit kemudian melibatkan lelaki berusia 29 tahun di perumahan sama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, anggaran wang sumbangan di dalam tabung yang dipecahkan suspek adalah sebanyak RM278.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penangkapan kedua-dua suspek berjaya menyelesaikan empat kes membabitkan kejadian pecah masuk pejabat sekolah dan pecah tabung masjid di kawasan Kandang serta Tiang Dua.

“Dalam tangkapan tersebut polis juga merampas wang tunai kira-kira RM165, alat pemotong besi, topi keledar, pakaian, walkie-talkie.

“Suspek remaja juga mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut, manakala rakannya membabitkan jenayah pecah premis,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari sehingga 23 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Mereka juga akan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) untuk tujuan saringan ujian air kencing,” katanya. 

– K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!