About Me

Penjawat awam, lelaki Indonesia ditahan curi lembu


JASIN – Polis menahan seorang penjawat awam dan lelaki warga Indonesia selepas dipercayai terlibat dalam kejadian curi dua ekor lembu di kawasan Kesang Pajak di sini, semalam.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 53 dan 42 tahun itu ditahan sepasukan polis dalam dua serbuan berasingan di Kelubi kira-kira pukul 4 petang.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang dibuat oleh kedua-dua pemilik lembu berkenaan, kelmarin.

Katanya, kejadian kecurian itu berlaku berasingan di mana pengadu pertama berusia 39 tahun menyedari seekor lembu jenis kacuk miliknya hilang kira-kira pukul 5 petang, di Kampung Kemangkang, pada 29 Mei lalu.

“Pengadu kemudian berjaya mengesan lembu miliknya di sebuah kandang di Krubong milik seorang lelaki dipanggil Najib, namun penternak itu mendakwa dia telah membeli haiwan terbabit melalui kedua-dua suspek tersebut.

“Kejadian sama berlaku kepada pengadu kedua yang kehilangan seekor lembu jantan di Kampung Kesang Pajak pada 16 April dan haiwan ternakan itu turut ditemui berada di kandang sama milik Najib,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, di sini hari ini.

Tambahnya, hasil siasatan awal, kedua-dua haiwan ternakan itu didakwa telah dijual kepada peraih tersebut pada harga RM1,400 dan RM2,700 setiap seekor.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua suspek telah melarikan lembu tersebut menggunakan lori dan mempunyai surat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi urusan penjualan lembu kepada peraih.

Katanya, suspek warga Indonesia kini direman selama 14 hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen, manakala penjawat awam itu dibebaskan dengan jaminan polis disebabkan mengalami masalah kesihatan. 

-K! ONLINE.

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!