About Me

Operasi besar-besaran pastikan pendatang tanpa izin divaksinasi - Hamzah

SEMENYIH: Tindakan melaksanakan operasi besar-besaran menahan pendatang tanpa izin dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bertujuan memastikan golongan berkenaan mempunyai dokumen sah bagi tujuan vaksinasi, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, tujuan itu dibuat berikutan kerajaan tidak boleh memberikan vaksin kepada sesiapa yang tidak mempunyai sebarang identiti dan dokumen, dan pelaksanaan itu bertujuan mendapatkan imuniti kelompok bagi melindungi rakyat.

"Sebelum ini, ada pihak mempertikaikan tujuan tersebut, bahawa mereka yang tidak mempunyai dokumen tidak patut ditahan, namun perlu dinyatakan di sini jika mereka yang ditahan tidak mempunyai dokumen, bagaimana nak melibatkan mereka dalam program vaksinasi?

"Kerajaan tidak boleh memberi vaksin kepada golongan ini, kerana setiap pendaftaran program vaksinasi memerlukan bukti dokumen dan identiti yang sah," katanya dalam sidang media selepas melawat ke depot imigresen sementara di Kem Program Latihan Khidmat Negara Eco Millenium, Beranang, dekat sini, hari ini.

Hamzah mengulas mengenai dakwaan dikeluarkan beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang, berhubung kedudukan pendatang tanpa izin dalam mendapatkan suntikan vaksin.

"Jika mereka tidak ditahan, adakah mereka akan keluar untuk mendapatkan vaksin? Di sebabkan itu mereka ditahan, dan kami akan siasat sama ada mereka mempunyai majikan atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, langkah seterusnya akan dilaksana dengan bekerjasama dengan majikan terbabit, untuk meminta mereka pergi ke kedutaan setiap pendatang tanpa izin itu, bagi mendapatkan dokumen sah sebelum golongan itu boleh menerima vaksin.

Hamzah turut mempelawa Ahli Parlimen serta ADUN yang menggesa bagi ketetapan itu, supaya membantu menaja pendatang tanpa izin yang ditahan tanpa dokumen serta majikan, bagi memudahkan urusan mendapatkan dokumen sah mereka.

Dalam pada itu Hamzah berkata, seramai 78,530 daripada 97,891 pendatang tanpa izin telah dihantar pulang ke negara masing-masing, menerusi Program Rekalibrasi bagi tempoh 21 Dis 2020 hingga 1 Jun lalu.

Beliau berkata kira-kira 108,000 warga asing yang berdaftar, dalam proses untuk memohon mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara.

Hamzah berkata berdasarkan jumlah keseluruhan berkenaan, kira-kira 200,000 warga asing di negara ini berjaya dikenal pasti menerusi program itu, yang dijalankan pihak Jabatan Imigresen dan seramai 5,009 majikan berdaftar dalam program berkenaan, mahu mengambil warga asing berdaftar bekerja dengan mereka," katanya.

"Perbincangan bersama pihak kedutaan Myanmar, China, Indonesia dan lain-lain mengenai perkara ini dilakukan, dan kami mahu pastikan mereka yang berada di sini mempunyai dokumen, bagi proses penghantaran balik mahupun urusan lain," katanya.

-- BERNAMA

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!