About Me

Mereka tidak rasa apa yang saya alami, semua kata nista saya terima – Pesara tentera


KUALA LUMPUR – Bekas pesara tentera, Suria Mohamad Hassan berkata, dia reda dengan segala tohmahan dan kata nista yang dilemparkan terhadap dirinya selama ini.

Bekas anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Bosnia itu berkata, mereka yang berkata demikian tidak berada di tempatnya yang terpaksa menempuh kepahitan hidup sebelum penularan wabak Covid-19 lagi.

Lebih gemar mendiamkan diri dan tidak mahu berkongsi kesusahan hidup dengan sesiapa termasuk kawan rapat.

“Apa yang berlaku (kisah viral) secara mendadak dan saya tidak sangka sampai ke pengetahuan orang atasan sampai ada juga kata-kata yang hina saya.

“Saya terima dan reda apa yang mereka cakap kerana mereka tidak tempuhi apa yang saya lalui pahit maung sebelum Covid-19.

“Saya meniaga macam-macam dan bukan duduk sahaja. Bangun tidur saya meniaga mencari nafkah untuk anak dan isteri kerana itu tanggungjawab saya,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas lawatan ihsan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun di ‘rumahnya’ di bawah jambatan Loke Yew.

Susulan daripada pendedahan itu Rina mengambil inisiatif memindahkan tujuh beranak yang tinggal di bawah jambatan Loke Yew di sini ke rumah transit di Flat Sri Johor, Cheras serta-merta.

Kata beliau, Suria, isteri bersama lima anak mereka akan ditempatkan di rumah itu selama seminggu.

Jelas beliau, selepas ini pihak kementerian berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi mendapatkan rumah yang selesa untuk diduduki dan bantuan kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

Mengenai perancangan selepas ini, Suria memberitahu dia akan meneruskan perniagaan buah-buahan walaupun bakal mendapat kediaman baharu di kawasan lain.

Jelas beliau, pada masa sama, dia akan mendapatkan rawatan terbaik untuk anak kedua dan bongsunya yang mengidap asma dan paru-paru berair.

Selain itu dia juga akan menyelesaikan surat beranak bongsu yang masih belum dibuat gara-gara tidak mampu membayar kos lewat pendaftaran surat itu.

“Saya juga terasa tehutang budi dengan semua pihak termasuk menteri, pengarah, semua sekali, media, Jabatan Kebajikan Masyarakat, pelbagai agensi dan orang ramai yang memberi sumbangan dan yang masih ingat dengan saya.

“Saya ucap terima kasih dah hanya Allah yang mampu membalas kebaikan semua. Begitu juga dengan kawan-kawan yang telefon dan menangis dengan nasib keluarga saya,” katanya.

Semalam, MalaysiaGazette mendedahkan kehidupan Suria bersama keluarga di bawah jambatan sejak November 2019.

Bekas pesara tentera itu yang bekerja sebagai penjual buah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tinggal di Flat Sri Sabah bersama keluarga mertua.

Namun gara-gara jumlah penghuni yang ramai di situ melebihi 13 orang, memaksa dia membawa isteri dan anak-anak tinggal di bawah jambatan.

Suria dan Azariyah berkahwin pada tahun 2012, yang mana ia adalah perkahwinan kedua buat mereka dan dikurniakan empat anak iaitu Saidatina Nurain, 9, Shahwal Wafi, 7, Aishah, 5, dan Mawar, 3.

Seorang lagi anak yang tinggal bersama adalah hasil perkahwinan pertama Azariyah.

Dia mendapat pencen tentera sebanyak RM900 sebulan namun perlu membayar kepada ah long sebanyak RM600 sebulan kerana membuat pinjaman untuk modal meniaga buah-buahan sebelum ini. 

– MalaysiaGazette

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!