About Me

Matahari terbit arah utara bukan petanda kiamat


KUALA TERENGGANU – Fenomena matahari didakwa terbit dari arah utara yang menimbulkan kekecohan di Jeneponto yang terletak di selatan Sulawesi, Indonesia semalam bukanlah petanda hari kiamat.

Penyelidik Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Madya Dr. Roslan Umar berkata, sebaliknya, ia merupakan fenomena biasa pergerakan matahari sepanjang tahun yang berubah-ubah mengikut bulan.

“Kedudukan matahari dilihat tidak tetap pada satu tempat sama sepanjang tahun. Ia disebabkan paksi bumi mencondong 23.5 darjah ketika mengorbit matahari.

“Fenomena ini akan berulang setiap tahun dengan matahari akan sentiasa kembali ke titik terbitnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Sebelum ini, satu rakaman video yang memperlihatkan matahari terbit dari utara yang berlaku di Jeneponto semalam tular di media sosial termasuk di negara ini.

Kompas.com melaporkan, seorang guru di Madrasah Aliyah Negeri (MAN) Binamu Jeneponto yang menyaksikan kejadian itu telah merakamnya menggunakan telefon bimbit dan memuat naik ke media sosial.

Roslan yang juga Felo Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur UNISZA berkata, fenomena pergerakan matahari itu lebih mudah disedari oleh individu yang menjemur pakaian di setiap pagi.

Pakar ilmu falak berkenaan juga memberitahu, matahari hanya akan kelihatan terbit dan terbenam masing-masing betul-betul tepat di ufuk timur dan barat hanya pada bulan Mac dan September.

“Fenomena pergerakan matahari tersebut juga lebih mudah diperhatikan di negara-negara yang berada berhampiran garisan khatulistiwa seperti Malaysia dan sekitarnya.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan orang ramai agar bertabayun atau menyelidiki dahulu sebelum mempercayai atau menyebarkan sumber tidak sahih di media sosial. 

– K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!