About Me

Lelaki cedera dipukul penghantar makanan, 5 ditahan


Petaling Jaya: Seorang lelaki cedera dipukul sekumpulan penghantar makanan di Sungai Way, di sini, hari ini.

Ketua Polis Dareah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang penghantar makanan berusia 19 tahun, pada 2.30 petang.

Beliau berkata, remaja itu mendakwa, laporan polis berkenaan dibuat susulan tidak berpuas hati terhadap salah seorang pelanggan yang menggunakan nama menyentuh sensitiviti agama.

"Pengadu membuat tangkap layar pesanan daripada pelanggan berkenaan serta menularkannya ke aplikasi komunikasi kumpulan penghantar makanan di kawasan berkenaan.

"Keadaan itu menimbulkan kemarahan kepada sekumpulan penghantar makanan yang lain dan mereka pergi ke rumah pelanggan terbabit yang terletak di Sungai Way," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, pelanggan terbabit yang berusia 29 tahun kemudian dipukul dan dibawa ke Balai Polis Sungai Way untuk tindakan lanjut.

"Kejadian itu menyebabkan lelaki berkenaan cedera. Kami turut menahan lima penghantar makanan berusia 19 hingga 40 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan.

"Kami masih mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu yang disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan apa-apa isu atau provokasi menyentuh sensitiviti mana-mana agama dan bangsa lain yang boleh menggugat ketenteraman awam.

"Masyarakat diingatkan supaya tidak mengambil tindakan melangkaui undang-undang dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan," katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 30 saat yang memaparkan seorang lelaki dipukul sekumpulan penghantar makanan tular di media sosial, hari ini.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!