About Me

Kualiti minyak masak bungkus plastik setanding dalam botol, bukan kitar semula - POB


KUALA LUMPUR: Kualiti minyak masak olein dalam bungkusan plastik 1 kilogram (kg) yang dijual di pasaran tempatan menepati kualiti ditetapkan dan bukan minyak kitar semula, kata Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Beliau berkata, harga minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg di pasaran dikawal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), justeru harga runcit tidak boleh dinaikkan melebihi harga kawalan RM2.50 ditetapkan.

"Tanggapan bahawa minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg yang dijual dengan harga subsidi mempunyai kualiti yang lebih rendah adalah salah. Harga minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg disubsidi dan dikawal oleh kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu, kata beliau, harganya lebih murah berbanding harga minyak masak dalam botol di pasaran.

Beliau menjelaskan subsidi ke atas minyak masak plastik tersebut memastikan harga kekal RM2.50 sebungkus walaupun harga minyak sawit mentah di pasaran meningkat, bertujuan mengurangkan beban hidup pengguna dalam mendapatkan minyak masak pada harga berpatutan.

"Subsidi bersasar ini bagi pengguna yang membeli minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg untuk kegunaan sendiri khususnya untuk golongan berpendapatan rendah.

"Minyak masak dalam botol dipasarkan dengan pelbagai jenama memberi pilihan kepada pengguna golongan pertengahan dan atasan yang sanggup membayar harga lebih tinggi berbanding minyak bungkusan plastik," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat 49 kilang penapis yang aktif beroperasi serta 312 syarikat membungkus minyak masak bagi bekalan kegunaan pasaran tempatan yang dianggarkan sebanyak 1 juta tan setahun.

Katanya MPOB menjalankan pemantauan secara berkala dan pengujian sampel minyak masak di pasaran mendapati kualiti dan ciri-ciri penting adalah menepati kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Standard Malaysia.

Beliau berkata ia meliputi kandungan asid oleik, warna dan kualiti penting termasuk sebatian polar, sebatian polimer, indeks kestabilan oksidatif dan vitamin E (tokotrienol dan tokoferol).

Pada 2020, Malaysia mengeluarkan 19.14 juta tan minyak sawit mentah dan penggunaan minyak masak olein untuk pasaran tempatan hanya merangkumi 4.1 peratus daripada jumlah pengeluaran minyak sawit mentah negara.


-- BERNAMA

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!