About Me

Kongsi rezeki, 100 bungkus makanan percuma setiap hari


Batu Pahat: Sekumpulan anak muda yang mengusahakan kedai makan Gas Char Kuey Teow di Taman Bukit Perdana dekat sini, menawarkan sebanyak 100 bungkus makanan percuma setiap hari kepada individu yang terkesan dalam tempoh sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan ketika ini.

Usaha murni Muhammad Firdaus Zuhairi Zulkifli, 25, bersama tiga lagi rakannya, Muhammad Nazriq Kamal,19; Muhammad Redzuan Arbain, 24, dan Zurrinna Zaabar, 25, bermula pada Selasa lalu dengan menyediakan makanan berbungkus secara percuma kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya.

Menurut Muhammad Firdaus, setiap hari dia dan rakannya akan menyediakan sekitar 80 hingga 100 bekas makanan yang terdiri daripada nasi goreng, mi goreng dan bihun goreng.

"Aktiviti amal seperti ini kami sudah lakukan sejak tahun lalu lagi dan ketika itu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menghulurkan bantuan barangan keperluan harian kepada mereka yang memerlukan.

"Prinsip saya adalah pada setiap rezeki yang kita miliki ada milik mereka yang memerlukan juga, selain percaya setiap kebaikan yang kita lakukan, Allah akan balas dengan berlipat kali ganda kebaikannya," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, buat masa ini pemberian makanan percuma berkenaan diberikan kepada keluarga yang memerlukan dengan menghubungi mereka sama ada menghantar maklumat diri melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi WhatsApp.

"Keluarga berkenaan kemudiannya perlu mengambil makanan yang sudah siap di kedai bermula 3 petang mengikut keperluan dan ia akan diberi setiap hari sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh sehingga 14 Jun ini.

"Niat untuk membantu mereka yang memerlukan ini selepas terkenangkan ketika saya kehilangan pekerjaan, ketika itu saya hanya membuka gerai kecil di tepi jalan dan saya sangat faham betapa sukarnya untuk mencari rezeki.

"Selain menyediakan makanan percuma ini, kami turut memberikan sumbangan barang keperluan kepada keluarga susah di sekitar Batu Pahat ketika musim perayaan," katanya.

Muhammad Firdaus berkata, bagi mereka yang terkesan akibat 'lockdown' ini boleh berhubung dengannya di talian 012-7422717 atau 012-2475390 untuk mendapatkan makanan percuma terutamanya bagi yang tinggal di sekitar Batu Pahat.

"Kami juga mengalu-alukan kepada orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan dengan memberikan sumbangan barangan keperluan dan boleh datang ke kedai makan kami.

"Akan datang, kami merancang untuk mewujudkan 'food bank' dengan menyediakan barang keperluan harian hasil daripada sumbangan daripada kami sendiri mahupun orang ramai untuk diberikan kepada mereka yang susah serta lebih memerlukan," katanya.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!