About Me

Kes bunuh diri musim PKP merisaukan Ella


PETALING JAYA – Melahirkan kerisauan terhadap peningkatan kes bunuh diri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penyanyi popular Ella memohon masyarakat sentiasa mengambil berat dan selalu bertanya khabar terhadap golongan terjejas.

Menurut Ella atau nama penuhnya, Nor Zila Aminuddin, 56, masalah kebimbangan dan kemurungan merupakan pembunuh senyap yang sangat membimbangkan ketika ini.

“Baru-baru ini saya baca sebuah artikel, sebanyak 266 kematian berpunca daripada bunuh diri direkodkan sepanjang tempoh Mac hingga Oktober 2020, manakala sejumlah 60 peratus penyumbang statistik ialah daripada masyarakat Melayu dan beragama Islam

“Tekanan perasaan bukan mainan, jangan perkecilkan keperluan anda atau sesiapapun untuk mendapat sokongan dan bantuan,” katanya dalam satu entri Instagram.

Penyanyi yang diberi jolokan Ratu Rock itu turut memberitahu, selain bantuan kewangan, golongan tersebut juga memerlukan rakan untuk berbual berkongsi masalah.

“Cuba-cubalah ambil berat keluarga dan kawan terdekat. Mungkin ada yang perlukan teman bersembang dan rawatan kaunseling atau psikologi, tiada apa yang hendak dimalukan.

“Saya cuma harap kita semua tahu bila masa yang tepat untuk mendapat atau memberi sokongan. Pada musim pandemik ini, tolong bertanya khabar mereka yang berdekatan seperti saudara-mara, teman ataupun jiran,” ujarnya lagi.

“Tak semestinya bantuan kewangan ya, teman bercakap pun kadang-kala lebih besar nilainya. Jangan pula kita berduka-lara selepas kehilangan seseorang yang tidak akan kembali,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Kosmo pada Mei lalu melaporkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semasa tempoh PKP terdapat banyak kes bunuh diri dilaporkan, namun perkara itu tidak dihebohkan. 

– K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!