About Me

Kasut baharu buat 'Uncle'


Puchong: "Saya memang sudah lama berniat berikannya hadiah kerana tidak sampai hati melihatnya pakai kasut koyak dan lusuh ketika bekerja," kata peniaga cendol, Muhammad Affiruddin Mat Ariff.

Kisah Muhammad Affiruddin, 33, mendapat perhatian netizen hingga tular di laman sosial selepas Muhammad Affiruddin berkongsi kisah lelaki digelar 'Uncle' itu menerusi satu hantaran di Facebook (Fb).

Menerusi hantaran itu, Muhammad Affiruddin berkongsi kisahnya menghadiahkan kasut baharu kepada seorang pekerja pembersihan sempena ulang tahun kelahirannya sendiri semalam.

Bercerita lanjut, Muhammad Affiruddin yang menetap di Bandar Puchong Jaya, di sini berkata, dia seringkali ternampak lelaki berkenaan ketika dalam perjalanan dari rumah ke tapak niaga di Taman Puchong Permai.

Bagaimanapun, bapa seorang anak perempuan itu tidak berkesempatan untuk menyapa sebelum ini kerana sibuk dan perlu mengejar masa.

"Jarak antara rumah ke tapak niaga kira-kira lima kilometer (km) dan akan melalui Jalan Puchong Perdana iaitu laluan Uncle berkenaan sering menyapu sampah.

"Pernah sekali, saya nampak Uncle itu di lampu isyarat dan terlihat kasutnya yang lusuh dan koyak hingga menampakkan jari kaki.

"Belum sempat saya buka tingkap untuk menyapanya, lampu isyarat bertukar hijau jadi terpaksa memandu untuk meneruskan perjalanan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhammad Affiruddin, dia kerap ternampak Uncle itu sejak tiga minggu lalu cuma keadaan tidak mengizinkan untuk berhenti dan menyapanya sehingga semalam.

"Kebetulan, saya melalui jalan yang sama semalam dan dia berada betul-betul di hadapan jadi saya terus berhentikan kereta untuk menegurnya.

"Saya minta izin untuk melihat kasutnya dan nampak memang sudah lusuh, koyak, ada kesan jahitan tetas seperti sudah dijahit banyak kali serta nampak tidak boleh dibaiki lagi.

"Jadi, saya rasa sudah tiba masanya untuk belikan kasut yang baharu cuma Uncle itu tidak tahu saiz jadi saya cuba agak saja ukuran kakinya," katanya.

Menurut Muhammad Affiruddin, dia ke kedai sendiri dan terus menyerahkan kasut kepada lelaki itu sebaik membelinya.

"Alhamdulillah, kasut yang dibeli muat dipakai olehnya.

"Saya tidak sempat berbual lama dengan Uncle itu tetapi ada bertanya beberapa perkara antaranya tinggal bersama siapa dan waktu kerja.

"Menurut Uncle itu, dia sepatutnya sudah pulang tetapi masih bekerja kerana banyak lagi sampah perlu dibersihkan jadi daripada situ, saya nampak kesungguhannya mencari rezeki," katanya.

Muhanmad Affiruddin berkata, niatnya berkongsi kisah di Fb bukan untuk menunjuk tetapi membuka mata masyarakat mengenai kepayahan individu yang bekerja sebagai pekerja pembersihan.

"Mesej saya cuba sampaikan adalah supaya kita semua menjaga kebersihan kerana boleh jadi, pekerja seperti Uncle perlu bekerja lebih masa dalam keadaan sepertinya (memakai kasut koyak).

"Apa pun, saya gembira kerana dapat bantu Uncle itu pada hari ulang tahun kelahiran saya tanpa mengira apa pun bangsa dan agamanya.

"Mungkin Allah sudah takdirkan saya bertemu dan membantunya," katanya yang sebelum ini bekerja sebagai penyelia kakitangan pembersihan hotel di Melbourne, Australia sebelum memulakan perniagaan cendol pada Julai tahun lalu.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!