About Me

Kami mahu hanya berdarah Malaysia - Ultras Malaya


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima tamparan hebat apabila digesa membubarkan program naturalisasi yang nyata tidak membawa apa-apa keuntungan buat pasukan kebangsaan.

Selepas legenda negara, Bakri Ibni menganggap kehadiran naturalisasi sebagai liabiliti dalam laporan Arena Metro kelmarin, kini tampil pula kumpulan penyokong tegar Harimau Malaya atau pemain ke-12 iaitu Ultras Malaya menolak program itu.

Menerusi satu kenyataan Ultras Malaya di laman Facebook UM'07 berkata, kumpulan itu membantah dan menolak sekeras-kerasnya sebarang polisi atau program pemain bukan berdarah Malaysia untuk menyarung jersi kebangsaan.

Malah, skuad Harimau Malaya hanyalah untuk pemain berdarah Malaysia sahaja dan ini adalah maruah negara yang tidak boleh dibuat main.

"Pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia wajib diwakili oleh pemain-pemain yang mempunyai darah Malaysia sahaja, bermaksud pemain yang darahnya tumpah di tanah Malaysia dan juga yang mempunyai hubung kait darah dari keturunan Malaysia (ibu, bapa, nenek, datuk, dan lain-lain).

"Segala bentuk polisi atau program yang sedang dijalankan untuk membawa masuk pemain bukan berdarah Malaysia ke dalam skuad kebangsaan adalah tidak perlu kerana ia tidak memberikan manfaat kepada bola sepak Malaysia dari segi apa pun," kata Ultras Malaya.

Kecaman demi kecaman yang dilontarkan bekas pemain mahupun penyokong ekoran kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam empat aksi antarabangsa dilalui setakat ini.

Meskipun diperkuatkan kehadiran tiga pemain naturalisasi Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh, Malaysia dimalukan menerusi kekalahan di tangan Kuwait (1-4) dan Bahrain (0-2) dalam dua aksi persahabatan.

Prestasi longlai itu berterusan di kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika ini apabila tumbang 0-4 kepada pasukan tuan rumah sebelum kalah 1-2 dengan Vietnam pada Jumaat lalu.

Tambah Ultras Malaya itu lagi, FAM seolah mahu menutup kelemahan sistem pembangunan di bawah kendalian badan induk itu dengan memperkenalkan program naturalisasi itu.

"Ia dilihat sebagai satu usaha jalan pintas untuk menutup kelemahan sistem bola sepak Malaysia di peringkat pembangunan pemain akar umbi dan kelemahan sistem dan operasi pasukan di Liga Malaysia yang tidak dapat melahirkan pemain yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, Asia mahupun dunia.

"Sebaliknya hanya berada di takuk peringkat ASEAN sahaja, itu pun terkial-kial. Kita mempunyai bakat yang hebat, namun bakat yang hebat tersebut tidak diasah dengan baik melalui sistem yang baik dan operasi pasukan yang cemerlang.

"Kami juga berpendapat, jika seseorang pemain bukan berdarah Malaysia memerlukan tempoh menunggu lima tahun bermain di liga tempatan, adalah lebih afdal jika tempoh masa lima tahun itu digunakan untuk mengasah, membangun dan memperkasakan bakat tempatan daripada kita menumpukan perhatian kepada pemain bukan berdarah Malaysia," katanya.

Kumpulan penyokong itu juga menyeru FAM memperbaiki ekosistem bola sepak tempatan secara total termasuk isu tunggakan gaji dalam Liga Malaysia.

"Letakkan kesungguhan sebagaimana kalian meletakkan kesungguhan terhadap program pemain asing tersebut kepada polisi dan program pembangunan pemain akar umbi di setiap pasukan dalam liga, beri penekanan terhadap pembangunan fasiliti pasukan profesional di dalam liga, berikan ketegasan terhadap salah laku dalam operasi mana-mana pasukan di dalam liga seperti culas membayar gaji dan sebagainya.

"Selaku badan induk yang mengawal selia dan menguruskan bola sepak negara, kuasa di tangan anda, jadi gunakan kuasa yang ada untuk memperbetulkan perkara-perkara asas di dalam bola sepak daripada memikirkan tentang jalan pintas pemain bukan berdarah Malaysia untuk mewakili skuad kebangsaan".

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!