About Me

Juara serama cecah RM40K


GERAK langkahnya seperti seorang model di atas pentas yang sedang memperagakan pakaian.

Kemampuannya memberi 'pose' terbaik dengan mengibas kepaknya sambil mengangkat kaki berjaya memukau juri dan penonton yang hadir.

Bakat semula jadi bergaya di hadapan juri menjadikan ayam serama itu diburu peminat dan penternak haiwan berkenaan.

Selain itu, fizikal, warna dan aksesori (balung serta ekor) turut memainkan peranan penting untuk berada dalam kategori ayam serama berkualiti.

Semua elemen ini tersenarai dalam skema pemarkahan juri untuk dinilai sebelum dinobatkan sebagai juara.

Kemenangan ini bukan sahaja membuktikannya bukan saja bergelar ayam serama terbaik malah harganya juga mampu melonjak sehingga puluhan ribu ringgit.

Selain itu, bakanya juga menjadi buruan dalam kalangan peminat ayam serama kerana mempunyai peratusan sangat tinggi untuk melahirkan pelapis sang juara di masa hadapan.

Penternak baka ayam serama, Roslan Ghazali, 46, berkata, baka ayam serama memainkan peranan yang penting untuk memastikan ayam berkualiti.

Katanya, tidak mudah untuk mengenal pasti ayam serama yang baik dan biasanya individu pengalaman akan membuat kajian mendalam sebelum membelinya.

"Kebiasaannya ayam serama yang memenangi beberapa pertandingan, akan menjadi buruan dalam kalangan peminat dan penternak.

"Antara baka yang menjadi rebutan adalah Hanuman, Rocky dan Submarine kerana sudah terbukti kerap memenangi pertandingan.

"Kadangkala telur ayam belum menetas sudah ada yang tempah kerana yakin mampu memperoleh ayam serama berkualiti," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, biarpun ayam serama berkualiti boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit, masih ada yang sanggup mengeluarkan wang sebanyak itu untuk kepuasan diri.

"Anak ayam bergred tinggi mampu mencecah anggaran RM350 hingga RM1,000 dan bagi ayam remaja dianggarkan bernilai antara RM1,000 hingga RM7,000.

"Untuk ayam dewasa pula terutama yang pernah memenangi pertandingan boleh mencecah sehingga RM40,000," katanya yang turut memelihara 50 ayam serama.

Katanya, pengalaman sebagai penternak selama belasan tahun banyak membantunya dalam membuat penilaian ayam serama berkualiti.

"Biasanya, individu berpengalaman sudah dapat melihat bakat ayam serama sejak daripada kecil menerusi pergerakan dan fizikalnya.

"Namun pernah juga berlaku anak ayam yang dilihat tidak berpotensi, mula menunjukkan bakatnya ketika sudah dewasa sehingga harga mencecah puluhan ribu ringgit," katanya.

Mengulas lanjut, penjagaan ayam serama sangat mudah dan tidak membabitkan kos yang tinggi.

"Setiap bulan saya peruntukkan sekitar RM100 untuk makanan dan ubat-ubatannya. Biasanya ayam berkualiti jarang sakit dan lebih mudah dijaga.

"Seminggu sekali, saya akan mandikan ayam dan membuat dandanan untuk menjaga bulunya," katanya.

Katanya, ayam serama juga perlu dilatih untuk membiasakan diri bergaya ketika berada di pertandingan sebenar.

"Ayam yang dilihat berpotensi perlu dilatih sejak kecil dengan meletakkannya di atas meja kecil di alas karpet seperti di pertandingan sebenar.

"Jadi ketika berada di gelanggang pertandingan, ayam ini tidak gugup dan dapat beraksi seperti biasa," katanya.

Jelasnya, komuniti ayam serama di negara ini semakin berkembang dengan positif di seluruh negara.

"Peminat ayam jenis ini berada di seluruh negara. Malah di negara luar seperti Thailand, Indonesia dan di Timur Tengah turut tertarik dengan keunikan ayam serama.

"Untuk mereka yang berminat, saya nasihatkan mulakan dengan ayam serama murah selain merujuk kepada orang lama untuk menimba ilmu dan pengalaman ," katanya.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!