About Me

JDT jadi mangsa ‘penalti’ Pohang Steelers


BANGKOK – Beberapa keputusan kontroversi pengadil, Shaun Evans dilihat antara faktor Johor Darul Ta’zim (JDT) tewas 1-4 kepada jaguh Korea Selatan, Pohang Steelers pada aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) sebentar tadi.

Kekalahan di Stadium Rajamangala, Bangkok itu dilihat ‘merosakkan’ hasrat JDT yang mendambakan kemenangan sekali gus menduduki tangga kedua Kumpulan G di belakang pasukan dari Jepun, Nagoya Grampus.

Bekas juara Piala AFC 2015 itu sebenarnya sudah bermula dengan cemerlang apabila berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-17 menerusi rembatan jarak jauh Leandro Velazquez.

Bagaimanapun, segalanya berubah selepas Evans bertindak menghadiahkan sepakan penalti kepada Pohang kerana mendakwa Leandro melakukan sentuhan terhadap salah seorang pemain pasukan itu dalam kawasan kotak penalti JDT.

Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya penyerang import Pohang dari Ukraine, Boris Tachti untuk mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-27.

Pengadil dari Australia itu sekali lagi membuat keputusan kontroversi apabila memberikan sepakan penalti kedua kepada Pohang selepas tonggak pertahanan JDT, Mauricio membuat terjahan lambat ke atas Mateo Kvesic.

Berdasarkan ulang tayang, Kvesic dilihat terpijak kaki Mauricio sebelum rebah di atas padang meraung kesakitan sehingga dia terpaksa diusung keluar.

Penjaga gol JDT, Farizal Marlias berjaya menafikan percubaan Kang Sang-Woo sebelum dia dipersalahkan kerana keluar terlebih dahulu sekali gus membolehkan kapten Pohang itu mengambil semula sepakan dan menjaringkan gol kedua.

Skuad bimbingan Benjamin Mora tidak berputus asa dengan menguasai aksi babak kedua dan melakukan serangan bertali arus, namun masih gagal mencari jaringan penyamaan.

Sebaliknya, Pohang yang dibimbing ketua jurulatih terbaik Liga Korea musim lalu, Kim Gi Dong berjaya memanfaatkan peluang dengan meraih tambahan dua gol untuk memenangi perlawanan dengan keputusan 4-1.

Gol ketiga dan keempat Pohang diperoleh menerusi Kwon Gi-pyo pada minit ke-82 sebelum mereka meraih sepakan penalti ketiga dalam perlawanan itu disempurnakan Lim Sang-hyub pada hujung permainan.

Sementara itu, Nagoya Grampus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan G selepas membelasah wakil Thailand, Ratchaburi 4-0 menerusi ledakan hatrik Ryogo Yamasaki dan satu daripada Manabu Saito. 

– K!ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!