About Me

Ibu meninggal dunia semalam, Nurfarra Asyikin jadi ‘ibu, ayah’ kepada empat adiknya


PADANG TERAP: “Saya akan pikul tanggungjawab ini sebaik mungkin seperti pesan mama. Apa terjadi kami tak akan berpisah”.

Demikian kata Nurfarra Asyikin Norazmi, 20, dari Kampung Pasir Puteh Tualak, Kuala Nerang dekat sini yang kehilangan ibunya semalam setelah lebih dua bulan koma akibat kemalangan jalan raya pada April lepas.

Menurut Nurfarra, dia reda menanggung tanggungjawab sebagai ‘ibu’ dan ‘bapa’ kepada empat adik-beradiknya yang semakin membesar selepas pemergian arwah ibunya itu.

Katanya, semasa arwah ibunya, Norhashimah Abdul Majid, 43, berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah, dia mengambil alih tanggungjawab menguruskan kesemua adik-adiknya itu.

Sementara itu, bapanya pula telah berpisah dengan arwah ibunya lebih setahun lalu.

“Bagaimanapun pada masa itu, saya sangat berharap ibu akan sembuh dan akan kembali ke kampung untuk tinggal bersama kami. Tetapi Allah lebih menyayanginya dan mengambilnya semalam hingga adik-adik sedih akan kehilangannya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelasnya, arwah ibunya itu pernah berpesan dan menyuruh menjaga adik-adik jika ibunya itu menghembuskan nafas terakhir dan jangan sesekali berpisah walaupun seteruk mana kesusahan yang dialami.

“Saya sudah berjanji akan menjaga kesemua adik-adik saya dan tidak akan berpisah walaupun menghadapi pelbagai dugaan dalam menempuh kehidupan masa akan datang.

“Saya juga berjanji akan menjaga keempat-empat adik saya iaitu Mohd. Hafiq Ridzuan,18; Nur Anis Amira,15; Nuraina Amalyna,12; dan Nurshafinas Fareha, 4, termasuk tiga daripada mereka yang masih bersekolah,” katanya.

Menurut Nurfarrah, kini dia terpaksa menumpang di rumah bapa saudaranya di kampung tersebut sambil dipantau oleh neneknya, Bainun Yasin, 95.

Katanya, dia tidak mampu untuk menyewa rumah apatah lagi dengan pemergian ibu, semua buntu untuk mencari rumah sewa.

“Kini saya bekerja sebagai sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kuala Nerang dan tidak mampu keluar bagi mencari rumah sewa untuk kami tinggal,” katanya.

Remaja itu bagaimanapun memberitahu, sejak kesempitan mereka itu vtular, banyak pihak menghulurkan bantuan termasuk Lembaga Zakat Negeri Kedah yang bersetuju membina sebuah rumah berdekatan kawasan itu.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada remaja berkenaan berikut adalah nombor akaun Nurfarra, 02113-29-00012661-7 BSN (Nurfarra Asyikin Norazmi).

- Utusan

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!