About Me

Hidup sebatang kara, warga emas tabah hadapi ujian


MELAKA: Tinggal sebatang kara dalam bangsal usang yang hanya berbumbung dan berdindingkan zink serta kayu reput yang menunggu masa untuk rebah.

Itu nasib seorang warga emas yang tinggal dalam keadaan serba kekurangan di Klebang, di sini dan hanya meraih pendapatan melalui jualan kain dari rumah ke rumah selepas kematian suami kira-kira 10 tahun lalu.

Che Zainab Che Sulaiman yang berusia 72 tahun, tinggal sendirian di bangsal usang dibina arwah suaminya di atas tanah yang disewa RM40 setahun sejak lebih 35 tahun yang lalu selepas berhijrah ke Melaka dari Tumpat, Kelantan.

Dia yang mesra disapa Mek Zainab berkata, anak tunggalnya yang menetap di ibu kota ada kalanya menghulurkan duit belanja tetapi dia tidak boleh terlalu bergantung kerana faham akan pendapatan anak lelakinya yang hanya bekerja kilang selain perlu menanggung keluarga.

Ujarnya, setiap kali hujan, boleh dikatakan ruang rumahnya akan penuh dengan besin dan baldi ekoran usia zink rumahnya sudah ‘tua’.

Namun dalam sayu ujarnya, Che Zainab yang mesra disapa Mek berkata, dia tekad untuk tidak berpindah keluar selagi keadaan rumah itu mengizinkan, memandangkan terlalu banyak kenangan bersama arwah suaminya selain turut menyuarakan ingin menghabiskan sisa hidup di situ.

"Bocor di hampir semua bahagian rumah kecuali tempat tidur. Mek letak besen untuk tadah air itu. Mek malu kalau orang besar datang rumah Mek," katanya berterus-terang.

Bercerita lanjut, ujar warga emas itu, jika sebelum negara dilanda COVID-19, kudratnya masih mampu berjalan jauh ada kalanya sehingga melebihi 10 kilometer untuk menjual kain bagi mencari sesuap nasi.

Namun kini dek kerana pandemik COVID-19, dia hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut Che Zainab, walaupun sudah biasa tinggal seorang diri namun jauh disudut hatinya terselit rasa rindu kepada keluarga di kampung halaman terutamanya pada bulan Ramadan dan Aidilfitri memandangkan sebelum ini dia akan pulang ke kampung setahun sekali.

Namun disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia akur tidak dapat balik menziarahi saudara mara dan bersyukur dikurniakan jiran tetangga yang baik hati dan sering bertanya khabar.

Katanya, meskipun ada yang bimbang dengan keadaannya seorang diri di rumah, dia percaya hanya Allah tempatnya mengadu dan bergantung harap selain akan bangun tengah malam untuk solat dan meluahkan segala yang terbuku.

"Allah ada, Mek takut juga ribut, tapi Allah ada. Kalau boleh Mek tak nak pindah tengah malam akibat ribut," tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang menyantuni warga emas itu berkata, pihaknya akan segera menjalankan kerja membaik pulih atap rumah didiami Che Zainab.

Katanya, pihaknya telah mendapatkan kebenaran daripada tuan tanah berkenaan untuk ubah suai rumah didiami warga emas itu dengan menggantikan atap zink yang bocor serta mengusahakan bantuan makanan menerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim).

"Kita akan baik pulih rumah beliau. Majlis Agama Islam Melaka juga akan usaha untuk membantu sebaik mungkin," kata Mohd Rafiq lagi.

- Awani 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!