About Me

Geng Sakai tumpas dalam Op Fortress


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai Geng Sakai selepas menahan 24 ahli kumpulan berkenaan di sekitar ibu negara, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kumpulan ini aktif melakukan jenayah sejak tahun 2012 diketuai seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun dikenali sebagai Sakai.

Menurutnya, siasatan mendapati keahlian kumpulan berkenaan dianggarkan berjumlah kira-kira 50 orang dan melakukan pelbagai jenayah antaranya bunuh, kekerasan harta benda, pemilikan senjata api, gengsterisme dan pengedaran dadah.

"Kumpulan ini turut merekrut seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang tidak bersekolah untuk terbabit dalam jenayah mereka.


"Ketua dan ahli kumpulan pernah beberapa kali dikenakan tindakan dan ditangkap atas kesalahan jenayah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Azmi berkata, selepas dibebaskan, ketua dan ahli kumpulan ini kembali aktif melakukan jenayah.

"Susulan itu, pada Ahad lalu, satu operasi Op Fortress dilakukan dan berjaya menahan 24 suspek berusia antara 14 hingga 47 tahun di sekitar ibu negara, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu.

"Serbuan berjaya merampas 318.6 gram dadah jenis syabu dan 445.5 gram heroin bernilai RM9,000," katanya.

Menurutnya, polis juga merampas wang tunai sebanyak RM21,665, lima kenderaan mewah jenis Porsche Macan, Ford Ranger, Mercedes, BMW dan Mazda.

"Keseluruhan rampasan bernilai RM1.73 juta dan polis akan mengambil tindakan ke atas harta dan kewangan ahli kumpulan ini.

"Siasatan lanjut turut mendedahkan pembabitan dua suspek yang masih berada dalam penjara dan tujuh lagi suspek masih bebas. Usaha mengesan saki baki ahli kumpulan ini masih giat dijalankan," katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan atas kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan 18 daripadanya ditahan di bawah Prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!