About Me

Dugaan seakan tiada noktah


Sungai Besar: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Kesedihan akibat kehilangan empat anak tersayang belum reda, derita Ahmad Rasidi Mohd Noh terus bertambah apabila disahkan menghidap kanser prostat tahap empat sejak November lalu.

Pada mulanya, Ahmad Rasidi, 50, dan isteri, Dayang Rohaida Yassin, 44, kehilangan anak ketiga mereka yang tidak sempat diberi nama kerana meninggal dunia ketika dilahirkan pada 1998.

Anak kedua pasangan itu, Ahmad Bakri Shah meninggal dunia pada 2000 ketika berusia setahun empat bulan disusuli anak sulung, Ahmad Badri Shah yang mati dalam tidur pada 2009.

Dia yang ketika itu berusia 17 tahun menghidap penyakit Duchenne Muscular Distrofi (DMD) iaitu sejenis gangguan saraf otot progresif.

Manakala anak bongsu, Ahmad Fikri Shah meninggal dunia pada Mei 2018 pada usia 17 tahun kerana menghidap penyakit misteri.

Bercerita lanjut, Ahmad Rasidi berkata, selepas kehilangan keempat-empat anak lelakinya walaupun bersedih dia dan isteri menjalani kehidupan seperti biasa dan mengambil seorang anak angkat Ummu Ariana Sofea, 4, pada 2017 bagi mengubati kesunyian mereka.

Namun langit tidak selalu cerah. Dia yang bekerja sebagai pengawal peribadi di Shah Alam dan mengusahakan perniagaan gimnasium serta berniaga durian mula merasai tahap kesihatannya tidak stabil dengan permulaan mengalami masalah membuang air kecil.

Katanya, bimbang dengan keadaan diri, dia mendapatkan rawatan di Hospital Selayang pada 2014.

"Doktor memaklumkan bahagian ari-ari saya bengkak dan perlu menjalani pembedahan. Selepas pembedahan, saya kembali bekerja dan menjalani kehidupan seperti biasa.

"Bagaimanapun, penyakit itu tidak berakhir di situ saja. Pada 2016, saya menjalani rawatan demi rawatan di hospital hingga 2018. Setahun kemudian, ia kembali mengganggu rutin harian, kali ini pergerakan saya mulai terbatas.

"Pada November lalu, doktor mengesahkan saya menghidap kanser prostat tahap empat. Waktu itu, saya rasa dunia gelap seketika hingga terasa lemah seluruh badan," katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya, semalam.

Terdahulu, dia dikunjungi Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar yang diketuai Pengerusinya Ahmad Zhafri Md Noor.

Ahmad Rasidi berkata, kanser prostat dihidapi menyebabkan dia hanya mampu duduk di kerusi roda serta terpaksa memakai pendakap khas untuk menyokong leher jika mahu makan dan minum.

"Saya berhabis puluhan ribu ringgit termasuk duit simpanan untuk merawat penyakit ini.

"Apabila kekangan kewangan melanda, saya hanya mampu tawakal dan berserah kepada Allah SWT.

"Saya tak rasa takut (selepas disahkan menghidap kanser prostat)...ini semua kuasa Allah SWT, kalau orang yang sihat Dia boleh ambil, apatah lagi orang yang sakit seperti saya.

"Kali terakhir saya buat rawatan di hospital pada 18 Jun lalu. Oleh kerana isteri tidak pandai memandu kereta, kami ambil seorang pembantu untuk urus perjalanan saya ke hospital," katanya.

Ahmad Rasidi berkata, di saat ujian datang bertimpa-timpa, dia sekeluarga bersyukur individu di sekeliling prihatin dan sering bertanyakan khabarnya.

"Tidak boleh digambarkan sakit ini macam mana...ia 10 kali ganda sakit daripada jatuh motosikal atau terkena parang.

"Malah, makan dan minum pun dah tak berselera selain tulang badan bengkok kerana saya tidur secara duduk. Saya kena pakai pendakap untuk tegakkan badan jika mahu minum dan makan," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Rasidi berkata, setiap hari dia berdoa kepada Allah SWT agar penyakitnya sembuh dan dapat menjalani kehidupan di samping keluarga tersayang.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Maybank (162740348311) di atas nama Ahmad Rasidi Mohd Noh atau menghubunginya di talian 019-8782340 atau isteri, Dayang Rohaida Yassin di talian 018-3629110.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!