About Me

Dua maut, tiga cedera, motosikal dirempuh kereta di Alor Setar


ALOR SETAR: Dua lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka dirempuh sebuah kereta Proton Saga dari arah bertentangan berhampiran stesen minyak Batu 6, Simpang Empat, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.05 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX-5, Muhamad Amirul Abdul Majid, 24 tahun, dan pemboncengnya, Muhammad Luthfan Asri, 15 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kedua-duanya yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan, menetap di Kampung Raja, Simpang Empat, Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, hasil siasatan awal mendapati motosikal itu dipercayai dari arah Alor Setar ke arah Simpang Empat manakala kereta terbabit dari Simpang Empat ke Alor Setar.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika motosikal berkenaan bergerak lurus di laluan mereka manakala kereta Proton Saga yang dinaiki tiga individu termasuk seorang wanita itu dipercayai datang dari arah bertentangan.

"Kereta yang dipandu Muhammad Aniq Shafiq Anuar, 20 tahun, itu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh motosikal yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat rempuhan itu, penunggang dan pembonceng motosikal maut di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, Muhammad Aniq Syafiq yang juga pelajar dan menetap di Kampung Bukit Lerek, Jalan Kuala Nerang itu mengalami kecederaan di mata, muka dan luka di tangan.

Manakala dua penumpang dalam kereta itu, Muhammad Faizal Mohamad Na'in, 20 tahun, berasal dari Pendang, luka di tangan dan Rosfaizureen Roslan, 18 tahun, dari Alor Setar, hanya bengkak di lutut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kenderaan itu ditahan untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

- Awani 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!