About Me

Dicekup ketika angkut 225 karton rokok seludup


ISKANDAR PUTERI – Dua rakan kongsi yang membekal rokok seludup ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam ketika sedang memunggah kotak rokok di tempat letak kenderaan belakang Bestari Walk, Jalan Bestari, Nusa Bestari di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, anggota PGA turut merampas 225 karton rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM40,000 dengan cukai.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 32 dan 44 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati rokok ini dipercayai dibawa masuk dari Indonesia dan kegiatan ini dikesan telah beroperasi selama enam bulan.

“Semasa serbuan dilakukan kedua-dua suspek sedang sibuk memunggah kotak-kotak rokok seludup dari Proton Persona ke kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Cherry Easter.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan berkenaan berjumlah RM79,734,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut dirampas adalah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Cherry Easter dan kereta Proton Persona yang digunakan dalam aktiviti tersebut.

Katanya, siasatan mendapati kedua-dua suspek merupakan rakan kongsi dan bertindak sebagai pengedar rokok seludup.

Tambahnya, kedua-dua suspek beserta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut.

“Tangkapan dan rampasan itu berjaya melumpuhkan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai sekitar Johor Bahru,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Beliau menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan.

-K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!