About Me

Dadah ketamin RM1.5 juta sangkut di SJR Gua Musang


GUA MUSANG – Polis berjaya melumpuhkan kegiatan sindiket pengedaran dadah jenis ketamin terbesar di Kelantan selepas menahan sebuah lori membawa bahan terlarang itu yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta di sekatan jalan raya (SJR) Kilometer 7, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di Kampung Tanah Putih di sini semalam.

Dadah jenis ketamin seberat 30 kilogram (kg) itu ditemui di dalam sebuah lori tiga tan yang dipercayai sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur pada pukul 12.30 tengah malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, sewaktu kenderaan berat yang dipandu seorang lelaki bersama kelindan masing-masing berusia 30 tahun itu tiba di SJR, anggota polis telah menjalankan pemeriksaan di dalam lori berkenaan.

Ujarnya, semasa menjalankan pemeriksaan, didapati lori itu membawa muatan pakaian terpakai sebelum polis turut menjumpai dua kotak berisi dua plastik hitam.

“Apabila dibuka, plastik itu mengandungi bungkusan plastik cerah berisi ketulan mampat hablur kristal disyaki dadah jenis ketamin seberat 30 kg.

“Modus operandi sindiket itu adalah menggunakan kenderaan perdagangan dan pemandunya menunjukkan permit perjalanan rentas negeri yang sah bagi mengaburi mata pihak berkuasa ketika melalui SJR,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di sini hari ini.

Menurut Sheik Azhar, berdasarkan soal siasat terhadap pemandu dan kelindan lori, polis telah menahan dua lagi lelaki berusia 38 dan 44 tahun di Kuala Krai dan Rantau Panjang yang dipercayai merupakan ahli sindiket itu.

Katanya, siasatan mendapati, keempat-empat suspek itu berperanan sebagai rangkaian penghantar dadah sebelum ia dipasarkan ke sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak awal tahun ini. Dadah seberat 30 kg yang dibawa di dalam lori itu boleh dibekalkan kepada seramai 60,000 penagih dadah dengan harga pasaran semasa bagi sekilogram ketamin iaitu RM53,000,” katanya.

Tambah Sheik Azhar, keempat-empat suspek direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 16 Jun ini dan kes disiasat mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-K!ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!