About Me

Cubaan dua tahanan lari daripada polis gagal


HULU TERENGGANU – Cubaan nekad dua lelaki yang merupakan suspek kes curi melarikan diri daripada tahanan polis tidak berhasil apabila mereka berjaya diberkas semula di Kampung Temala, Pengkalan Berangan, Marang hari ini.

Sewaktu melarikan diri pada pukul 10.45 malam, mereka bersama dua tahanan lain dalam perjalanan pulang lokap Balai Polis Ajil di sini dari Mahkamah Majistret Marang di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, terdahulu kedua-dua suspek kes curi itu yang diberkas pada 30 Mei lalu dibawa ke Mahkamah Majistret Marang dengan sebuah van bagi permohonan sambung reman pada pukul 8.30 pagi.

“Sewaktu dalam perjalanan pulang semula ke lokap Balai Polis Ajil, kedua-dua suspek yang duduk di tempat duduk penumpang belakang van dengan keadaan tangan bergari berantai telah tiba-tiba menyerang anggota polis yang mengiringi mereka.

“Dua lelaki masing-masing berusia 38 dan 39 tahun yang memakai pakaian lokap berwarna jingga itu kemudiannya berjaya meloloskan diri dengan melompat dari pintu belakang van polis,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, kedua-dua suspek telah melarikan diri ke dalam sebuah kebun kelapa sawit sebelum cuba dikejar dua anggota polis terlibat sehingga berlaku pergelutan.

Beliau berkata, pergelutan tersebut menyebabkan dua anggota polis berkenaan mengalami kecederaan ringan sebelum operasi memburu tahanan terlepas itu dilancarkan pada pukul 11.20 pagi.

“Operasi tersebut berjaya menahan kembali suspek pertama berusia 39 tahun di kawasan kelapa sawit kira-kira satu kilometer (km) dari lokasinya melarikan diri pada pukul 12.03 tengah hari.

“Suspek kedua berusia 38 tahun pula berjaya diberkas semula kira-kira tiga kilometer daripada lokasi penemuan tahanan pertama pada pukul 1.12 tengah hari,” katanya.

Mohd. Adli berkata, kedua-dua suspek dibawa semula ke Balai Polis Ajil untuk disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan dan Seksyen 224 akta sama. 

– K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!