About Me

Bantu majikan urus penggajian


Kuala Lumpur: Penggunaan inisiatif e-Payroll yang dilancarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat dapat mengurangkan kos operasi dan mengoptimumkan sumber manusia sedia ada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan di negara ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, e-Payroll memainkan peranan yang penting untuk membantu majikan mengurus rekod penggajian secara digital, sekali gus memudahkan proses pengurusan caruman.

Katanya, dengan menggunakan e-Payroll, fokus PKS dan usahawan boleh dikhususkan kepada urusan perniagaan seperti pemasaran.

"Inisiatif e-Payroll ini adalah antara medium yang menyokong usaha kerajaan dalam mewujudkan jaringan keselamatan sosial yang lebih komprehensif di negara ini.

"Kemudahan e-Payroll atau sistem penggajian digital KWSP terutama bagi usahawan PKS sejajar dengan inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) yang menyokong keseluruhan rancangan infrastruktur digital nasional di mana RM21 bilion diperuntukkan selama lima tahun untuk meningkatkan sambungan internet, memacu digitalisasi dan mengoptimumkan penggunaan internet.

"Dengan kita berganding bahu bersama-sama, pendigitalan ini akan dapat membantu mengurangkan kos perniagaan serta memudahkan operasi," katanya ketika berucap melancarkan e-Payroll KWSP secara maya, semalam.

Hadir sama Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Tengku Zafrul berkata, tidak dinafikan kini pandemik Covid-19 adalah antara cabaran terbesar yang melanda negara dan seluruh dunia.

Beliau berkata, rakyat dan perniagaan termasuk PKS terkesan akibat penularan wabak ini dan hampir semua jenis industri dan perniagaan terpaksa mengadaptasikan perniagaan mereka ke dalam talian dan proses operasi perniagaan secara digital.

"Kerajaan melalui kementerian dan agensi berkaitan bekerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan komunikasi utama untuk membangunkan sebuah pelan infrastruktur digital yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan baharu rakyat dan perniagaan.

"Pelan tindakan ini yang dikenali Jendela ini akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dan akan dilaksanakan secara berfasa dalam memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih serta mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih," katanya.

Sementara itu, Ahmad Badri berkata, sistem e-Payroll KWSP memberikan pengalaman yang selamat dan lancar untuk majikan, dengan penekanan terhadap pengiraan automatik bagi pemotongan dan caruman kepada badan berkanun.

Katanya, inisiatif itu adalah sejajar dengan objektif KWSP untuk membantu majikan khususnya PKS, memenuhi tanggungjawab mereka terhadap pekerja, di samping melancarkan operasi syarikat.

"Perkhidmatan ini juga dapat membantu majikan menyimpan rekod pekerja mereka secara digital termasuk gaji. Dengan ini, e-Payroll dapat meningkatkan kecekapan proses dengan mengurangkan masa yang diperlukan untuk menguruskan aktiviti yang berkaitan kewajipan berkanun," katanya.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!