About Me

Anak kucing berkepala dua


Putrajaya: "Saya tidak pernah lihat kucing seperti itu sebelum ini dan anggap kelahirannya sebagai tanda kebesaran Allah," kata pencinta kucing, Nurashikin Nusuri.

Nurashikin, 32 yang menetap di Presint 18, di sini memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi mengulas hantaran dimuat naiknya di Facebook (FB) Saya Sayang Kucing-Malaysia semalam mengenai kelahiran anak kucing berkepala dua.

Menerusi hantaran itu, Nurashikin meluahkan rasa sedih kerana tidak dapat menyelamatkan anak kucing istimewa itu yang mati tidak sampai 24 jam selepas dilahirkan.

"Kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam, seekor daripada kucing saya iaitu Oya yang bunting nampak tidak keruan kerana hampir melahirkan anak.

"Memandangkan ada pengalaman sebelum ini, saya cuba bantu Oya dengan mengurut badannya supaya mudah melahirkan anaknya.

"Dua jam kemudian iaitu kira-kira jam 2.30 pagi, Oya selamat melahirkan enam ekor anak tetapi seekor daripadanya istimewa kerana berkepala dua," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nurashikin berkata, Oya bagaimanapun tidak mengendahkan anaknya yang berkepala dua itu.

"Saya perhatikan Oya hanya melayan anak lain dan membiarkan saja kucing berkepala dua itu.

"Oya hanya memerhati saja dan enggan menyusukan anaknya itu walaupun saya cuba membantunya.

"Kasihan melihat keadaan anak kucing itu, lebih menyedihkan apabila menyedarinya ia sudah tidak bernyawa kira-kira jam 10 pagi semalam," katanya.

Nurashikin berkata, niatnya berkongsi kisah itu di Fb sekadar untuk meluahkan perasaannya saja tetapi terkejut apabila menerima reaksi di luar jangkaan.

"Saya muat naik kisah itu bagi berkongsi kesedihan kerana tidak dapat menyelamatkan kucing berkenaan.

"Jujurnya, saya tidak tahu ada kucing dilahirkan dengan dua kepala sebelum ini sehingga membaca komen netizen yang berkongsi mengenai kisah sama di luar negara.

"Apa pun, saya bersyukur kerana berpeluang menjaga anak kucing itu walaupun hanya seketika," katanya yang gemar memelihara kucing sejak empat tahun lalu yang kebanyakannya diberi oleh pemilik asal.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!