About Me

3 pekerja positif COVID-19, kilang getah di Baling diarah tutup


BALING : Sebuah kilang menghasilkan produk getah di Baling diarahkan tutup selepas tiga pekerjanya dikesan positif COVID-19 hasil ujian awal Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) yang dijalankan pihak majikan.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shamsudin Mamat berkata, keputusan menutup kilang itu diambil selepas pihaknya mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan kilang.

“Pihak pengurusan kilang bersetuju dengan cadangan berkenaan dan mereka sudah memaklumkan kepada Pegawai Daerah Baling berhubung penutupannya.

"Majlis Daerah Baling (MDB) dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Baling telah maklum mengenai status penutupan kilang berkenaan.

"Polis turut melakukan tinjauan di tempat kediaman pekerja warga asing serta memberi amaran supaya mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak keluar rumah kerana mereka dikenal pasti sebagai kontak rapat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsudin, berkata PKD sedang menjalankan siasatan berhubung perkara ini dan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sudah dilakukan ke atas ketiga-tiga pekerja terbabit bagi menentukan kesahihan jangkitan.

Menurutnya, pihak kilang juga sudah mengambil inisiatif dengan menempatkan ketiga-tiga pekerja itu di rumah berasingan dengan pekerja lain sementara menunggu pengesahan ujian COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada 18 Jun lalu, pihak majikan kilang terbabit melakukan ujian saringan kepada 16 orang pekerjanya yang merupakan kontak rapat kepada seorang pekerja warga Bangladesh yang dikesan positif COVID-19 melalui ujian RTK-Ag.

Ujian berkenaan membabitkan tiga buah kediaman pekerja dan keputusannya mendapati dua pekerja dikesan positif COVID-19 iaitu seorang pekerja tempatan dan seorang pekerja warga asing.

“Keesokannya, majikan berkenaan mengambil tindakan segera dengan mengadakan ujian saringan terhadap kira-kira 200 orang pekerjanya di sebuah klinik swasta di Kuala Ketil," katanya.

Menurutnya, kilang terbabit sudah beroperasi kira-kira 24 tahun dan ia merupakan kali pertama pekerja kilang berkenaan disahkan positif COVID-19.

Syarikat ini beroperasi di sektor pembuatan produk getah dan mempunyai sejumlah 265 orang iaitu 171 merupakan pekerja tempatan dan selebihnya pekerja warga asing.

- Awani 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!