About Me

3 lelaki dikompaun RM2,000 ronda tanpa tujuan


Jitra: Tiga lelaki masing-masing dikompaun RM2,000 kerana meronda tanpa alasan munasabah dengan menunggang motosikal sebelum ditahan polis dalam Op Bersepadu yang dilakukan di Pekan Air Hitam di sini, semalam.

Mereka yang berusia 20, 21 dan 33 tahun itu hanya memberi alasan yang tidak munasabah melakukan pergerakan tanpa arah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 masih berkuat kuasa.

Selain Pekan Air Hitam, operasi turut dilakukan di Jalan Alor Setar-Kangar dan Jalan Sungai Korok-Jitra di sini, bermula 6.30 petang hingga 9 malam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, sebanyak 166 saman turut dikeluarkan terhadap penunggang motosikal kerana pelbagai kesalahan dilakukan.

Menurutnya, antara kesalahan terbabit adalah tiada lesen (19), nombor pendaftaran (20), cermin sisi (19), topi keledar (69), insuran (7), aksesori (18), ubahsuai ekzos (1), bawah umur (7), brek tidak berfungsi (1) dan gagal pamer lesen (5).

Katanya, daripada jumlah itu, paling banyak kesalahan dilakukan adalah tidak memakai topi keledar.

"Operasi membabitkan kekuatan 13 anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu yang diketuai Inspektor Wan Mazuan Wan Mahmud dan dibantu anggota Balai Polis Air Hitam.

"Pemeriksaan kenderaan dilakukan membabitkan 150 motosikal dan 145 penunggang motosikal serta lima pembonceng," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rodzi berkata, lima buah motosikal disita yang membabitkan jenis Honda EX5, Honda C90, Y15ZR, Honda Wave dan Yamaha Lagenda untuk pemeriksaan lanjut.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!