About Me

Taktik Baru nak Rentas Negeri


Sungai Petani: Polis mengesan taktik baru digunakan untuk merentas negeri iaitu menyediakan surat majikan yang tertera tiga nama tetapi hanya seorang saja yang berkaitan dengan pekerjaan manakala dua lagi hanya menumpang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tindakan itu antara cubaan individu untuk merentas negeri malah ada yang didapati menggunakannya di laluan tikus.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan tangkapan jika membabitkan warga asing dan kes akan disiasat mengikut Akta Imigresen.

"Taktik itu dipercayai dilakukan rakyat tempatan untuk membawa pekerja warga asing ketika ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di daerah ini.

"Tindakan itu mungkin dilakukan kerana menyangka polis tidak melakukan pemeriksaan secara menyeluruh," katanya ketika ditemui sewaktu melakukan pemeriksaan dan rondaan di sempadan Jambatan Merdeka, di sini hari ini.

Adzli berkata, sekiranya surat itu masih sah digunakan, pihaknya menasihatkan individu supaya memohon surat baru dengan mengemukakan dokumen penumpang.

Dalam pada itu, Adzli berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Mei lalu, sebanyak 115 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, antara kesalahan terbabit ialah tidak memakai pelitup muka dan premis perniagaan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Selain itu terdapat juga kes berkumpul membabitkan orang luar dari daerah ini tanpa sebarang alasan munasabah dan surat kebenaran polis.

"Semalam kita tahan enam individu termasuk dua wanita kerana berhibur dalam sebuah bilik sambil minum minuman keras dan mengambil dadah," katanya.

Adzli berkata, polis mengenal pasti banyak laluan tikus di Kuala Muda dan pasukan pemantau akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan tidak ada yang terlepas.

"Sepanjang tempoh PKP 3.0 ini juga, sebanyak tujuh tangkapan dilakukan yang membabitkan warga asing kerana tiada dokumen berkaitan dan surat kebenaran polis.

"Kita juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu tidak kira status, darjat atau golongan selebriti. Kita akan ambil tindakan kompaun sekiranya didapati melakukan kesalahan," katanya.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!