About Me

Rogol kanak-kanak: Penganggur dipenjara 18 tahun, disebat enam kali


KLUANG: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah merogol seorang kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun dalam kejadian di Simpang Renggam dekat sini, dua minggu lepas.

Hakim Mujib Saroji juga memerintahkan lelaki berumur 39 tahun dan belum berkahwin itu menjalani hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 15 Mei lalu.

Tertuduh mengaku merogol kanak-kanak perempuan berkenaan di bilik belakang sebuah rumah di sebuah kampung di Simpang Renggam pada 3.30 petang, 14 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan maksimum 30 tahun berserta sebatan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon maaf atas perbuatannya itu dan merayu hukuman ringan.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Muhamad Dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh yang mempunyai pertalian persaudaraan dengan mangsa bagi memberi pengajaran kepadanya dan orang awam.

Beliau berkata hukuman yang dijatuhkan perlu menunjukkan bahawa kerajaan dan mahkamah serius terhadap kesalahan merogol kanak-kanak kerana kes sedemikian merupakan jenayah berat.

Di mahkamah sama, seorang pemilik syarikat alat ganti kereta Tan Chuang Loong, 32, didakwa membunuh seorang lelaki K. Ramachandran menggunakan sebatang paip polivinil klorida (PVC) di sebuah kilang di Jalan Perindustrian Gemilang, Taman Perindustrian Gemilang.

Tan dituduh melakukan kesalahan itu antara 2.50 pagi hingga 4 pagi pada 15 Mei lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang diwakili peguam Dr Abraham Mathew kerana kes bunuh merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 17 Jun untuk sebutan semula kes bagi pihak pendakwaan menyerahkan laporan bedah siasat.


-- BERNAMA

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!